1,000 penyu dibunuh, daging diseludup
KUDAT - Kira-kira 1,000 penyu dibunuh, manakala dagingnya dikeringkan dipercayai untuk tujuan diseludup keluar bagi memenuhi permintaan pasaran dari negara luar.
Bagaimanapun, aktiviti penyeludupan daging dari jenis spesies terancam itu berjaya dipatahkan oleh pasukan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Kudat dalam Op Pluto Timur/Op Tiris di perairan Kampung Tajau Laut pada Selasa.
Pengarah Zon Maritim Kudat, Komander Maritim Maurice Grenville Abeyeratne berkata, dalam kejadian jam 10.27 malam itu pasukannya yang sedang melakukan rondaan berjaya mengesan sebuah bot sedang melakukan aktiviti mencurigakan.
"Pasukan rondaan kemudian bergerak ke lokasi, namun disebabkan keadaan kawasan yang cetek menyukarkan bot ronda menghampiri bot tersebut untuk diperiksa.
"Suspek yang menyedari kehadiran penguat kuasa Maritim Malaysia bertindak melarikan diri dari kawasan tersebut dan meninggalkan guni yang diletakkan di tepi pantai berkenaan," katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Tambah beliau, aset dari darat telah diatur gerak ke lokasi untuk membuat pemeriksaan kerana bot ronda tidak dapat merapat di kawasan pantai tersebut.
"Hasil pemeriksaan menemui 51 guni berisi daging penyu kering yang dianggarkan seberat 765 kilogram dan daripada jumlah itu, dianggarkan 1,000 ekor penyu telah dibunuh oleh sindiket ini.
"Selain itu, 19 guni balat juga turut ditemui. Kesemua barang yang ditemui tidak sempat dipunggah masuk ke dalam bot suspek dan dipercayai cuba diseludup untuk pasaran negara luar," katanya.
Maurice berkata, nilai keseluruhan barang rampasan tersebut dianggarkan lebih RM500,000.
"Semua barang rampasan dibawa ke Pejabat Zon Maritim Kudat untuk siasatan lanjut.
"Kes disiasat di bawah Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar 1997 (cubaan menyeludup daging haiwan spesies terancam)," katanya.
Sebelum itu, Maurice mengingatkan komuniti maritim di Kudat supaya bertindak melaporkan sebarang kegiatan jenayah yang berlaku di laut kepada Maritim Malaysia untuk tindakan selanjutnya.
"Orang ramai boleh berhubung terus melalui talian 088-611858 (Pusat Operasi Kudat) dan talian kecemasan 999 yang beroperasi 24 jam," katanya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!