Kumpulan Dolla tidak melatah
KUMPULAN Dolla tidak terasa hati dengan ‘komen pedas’ yang dilontarkan daripada anggota SMDX iaitu Elle Thong.
Bahkan mereka menerima sebarang pendapat dan kritikan sebagai pemangkin semangat.
Salah seorang anggotanya iaitu Sabronzo berkata, mereka sedar bukan semua rakyat Malaysia mengenali kumpulan Dolla.
Ulasnya, ia tidak mematahkan semangat sebaliknya memberi motivasi untuk terus bekerja keras menghasilkan lebih banyak lagu dan karya seni yang bagus.
“Kita rasa baik-baik sahaja. Benda kecil sahaja tak perlu besarkan.
“Cerita begini memang akan berlaku tapi just move on,” katanya ketika sidang media Konsert Dolla di Planetarium Negara, Kuala Lumpur.
Dolla berkata demikian ketika menjawab isu berhubung kenyataan salah seorang kumpulan wanita dari Sabah tersebut yang tidak mengenali mereka.
Susulan itu, Sabronzo meminta penyokong dan peminat terutama iDolla tidak berdebat atau melayan perkara itu lagi.
“Kami sangat menghargai tindakan mereka untuk melindungi dan mempertahankan Dolla.
“Tidak mengapa, jangan gaduh-gaduh, sayang- menyayangi dan terus menyokong kami,” ujarnya.
Sementara itu, Tabby berkata, melakukan kesilapan memang sukar dielakkan tetapi perlu dijadikan peringatan agar tidak berulang semula.
“Kami amat menyokong kumpulan wanita baharu, jangan risau kesilapan memang selalu terjadi.
“Bagi pihak kami okay saja, lagipun dia masih baru dalam industri,” katanya yang bersedia bekerjasama dengan SMDX pada masa akan datang.
Sementara itu, Dolla bakal mengadakan konsert Dolla Re:Birth The Experience pada 3 Ogos 2024, di Zepp Kuala Lumpur.
Ujar Sabronzo, konsert itu nanti membolehkan mereka mempamerkan semua yang telah mereka pelajari sejak kemunculan mereka beberapa tahun lalu.
"Konsert ini akan menjadi era baharu, kelahiran semula Dolla memegang visi baharu yang berani, satu evolusi yang menangkap intipati keperibadian kami hari ini.
"Kami bakal melangkah ke satu ruang yang belum diterokai, menerima perubahan dan menghindari segala rintangan yang tidak pernah berlaku sebelum ini.
"Bersedia untuk menyaksikan era baharu Dolla. Ini bukan sekadar konsert; Ini adalah pernyataan dedikasi kami untuk sentiasa berkembang berserta peluang tanpa had di hadapan.
"Kami teruja untuk memberi peluang kepada semua yang telah bersama kami untuk mentakrifkan semula Dolla yang baharu,” katanya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!