Kekalkan status elit Divisyen Premier ARC

Amir Amri (empat, kiri) bersama Shahrizin (enam, kiri) pada Majlis Memeterai Perjanjian Penajaan Pakaian Rasmi Pengadil Kebangsaan dan Kerjasama Strategik antara KRM dan Enervive Sports di Enervive USJ Height pada Rabu.
Amir Amri (empat, kiri) bersama Shahrizin (enam, kiri) pada Majlis Memeterai Perjanjian Penajaan Pakaian Rasmi Pengadil Kebangsaan dan Kerjasama Strategik antara KRM dan Enervive Sports di Enervive USJ Height pada Rabu.
A
A
A

KESATUAN Ragbi Malaysia (KRM) tidak rela melihat skuad Bunga Raya 15-sebelah (15s) tersingkir daripada saingan Divisyen Premier Kejuaraan Ragbi Asia (ARC).

Presiden KRM, Amir Amri Mohamad berkata, pihaknya meletakkan sasaran untuk skuad ragbi negara mencapai sekurang-kurangnya satu kemenangan bagi saingan kali ini sekali gus mencerahkan peluang terus kekal dalam saingan Divisyen Premier kejohanan yang bakal bermula Sabtu ini.

Beliau optimis Malaysia mampu mengatasi pendatang baharu, Emiriah Arab Bersatu di Dubai pada aksi terakhir 21 Jun ini selepas pasukan dari Timur Tengah itu dinaikkan ke Divisyen Premier musim 2024 susulan kejayaan muncul juara Divisyen Satu, tahun lepas.

“Saya cukup yakin pasukan kebangsaan juga mampu beri saingan sengit dalam perlawanan pertama dengan cuba membuat kejutan menentang Korea Selatan pada aksi pembukaan di Incheon 1 Jun ini.

“Kita pula ada sedikit kelebihan menjadi tuan rumah menentang Hong Kong pada 8 Jun nanti, jadi saya harap skuad kebangsaan dapat beri persembahan terbaik dan sekurang-kurangnya melakar keputusan di luar jangkaan,” katanya pada sidang media majlis memeterai perjanjian penajaan dan kerjasama strategik antara KRM dan agensi sukan tempatan Enervive Sports pada Rabu.

Pada edisi lepas, skuad negara dibelasah 3-27 oleh Korea Selatan dan 9-88 oleh juara bertahan Hong Kong dan mengakhiri saingan di tempat ketiga tanpa sebarang kemenangan.

Majlis menyaksikan KRM menerima penajaan Enervive Sports menerusi jenama sukan EV berjumlah RM50,000 selama setahun merangkumi tajaan rasmi pakaian pengadil dalam kejohanan kebangsaan di samping program pembangunan pengadil tempatan.

Mengenai majlis itu, Amir Amri menyifatkan kerjasama tersebut penting dalam meningkatkan lagi mutu sukan ragbi dan memartabatkan pengadil tempatan.

Artikel Berkaitan:

Ketua Pegawai Eksekutif Enervive Sports Shahrizin Shaharudin pula berkata kerjasama dengan KRM melambangkan komitmen mereka dalam mengangkat profesionalisme sukan ragbi secara menyeluruh. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!