Pelaburan 1MDB tidak bawa keuntungan - Pegawai penyiasat

Nur Aida (dua dari kanan) hadir sebagai saksi pendakwaan ke-49 dalam kes penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang dihadapi bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di Mahkamah Tinggi hari ini. Foto Bernama
Nur Aida (dua dari kanan) hadir sebagai saksi pendakwaan ke-49 dalam kes penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang dihadapi bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di Mahkamah Tinggi hari ini. Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu bahawa pelaburan yang dibuat oleh 1Malaysia Development Berhad (1MDB) tidak membawa sebarang keuntungan, malah menyebabkan syarikat pelaburan strategik negara itu mengalami kerugian.

Pegawai Penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Penguasa Kanan Nur Aida Ariffin, 37, berkata demikian ketika menyangkal cadangan peguam bela, Wan Azwan Aiman Wan Fakhruddin berkenaan 1MDB yang menjana keuntungan menerusi pelaburannya di dalam pelbagai sektor.

Wan Azwan Aiman kemudian memberikan contoh mengenai pelaburan 1MDB dalam sektor pengambilalihan janakuasa (IPP) daripada Mastika Lagenda Sdn Bhd dan Tanjong Energy Holdings Sdn Bhd yang dikatakan memberikan 1MDB keuntungan tetapi Nur Aida tidak bersetuju dan menyatakan janakuasa tersebut akhirnya dijual kepada pelabur dari China untuk melunaskan hutang 1MDB.

Saksi pendakwaan ke-49 itu berkata demikian ketika disoal balas Wan Azwan Aiman, yang mewakili Datuk Seri Najib Razak, semasa perbicaraan kes rasuah dan pengubahan wang haram Najib, yang juga bekas Perdana Menteri, membabitkan RM2.3 bilion dana 1MDB.

Najib hadir bagi sambung perbicaraan kes 1Malaysia Development Berhad (1MBD) di Mahkamah Tinggi hari ini. Foto Bernama
Najib hadir bagi sambung perbicaraan kes 1Malaysia Development Berhad (1MBD) di Mahkamah Tinggi hari ini. Foto Bernama

Wan Azwan Aiman: Walaupun kamu telah rumuskan kesemua projek yang disertai oleh 1MDB gagal, setuju dengan saya kita sekarang ada bangunan Menara Tun Razak Exchange (TRX).

Nur Aida: Betul, saya kata 1MDB mengalami kerugian kerana TRX bukan dibangunkan menggunakan duit pelaburan 1MDB itu sendiri seperti yang terdapat dalam perjanjian usaha sama pada peringkat awal, sebaliknya 1MDB perlu mendapatkan pelaburan berasingan dengan mendapatkan syarikat lain untuk melabur bagi membangunkan TRX.

Saksi itu berkata, hasil siasatannya mendapati dana yang diperoleh untuk pembangunan TRX atau nama asalnya Kuala Lumpur International Financial District (KLIFD) telah diselewengkan dan pembangunan TRX sebenarnya dibiayai oleh pelabur asing.

Artikel Berkaitan:

"Sementara itu, untuk menanggung kesan hutang 1MDB daripada perolehan IPP melalui jaminan International Petroleum Investment Company (IPIC), Datuk Seri Najib telah mengarahkan Pegawai Khas beliau, Datuk Amhari Efendi Nazarudin bagi memuktamadkan perjanjian sulit yang dipanggil Binding Term Sheet (BTS) antara IPIC dan kerajaan Malaysia," katanya.

Pada 4 September 2019, Amhari Efendi ketika memberi keterangan sebagai saksi dalam perbicaraan ini mendedahkan Najib pernah mengarahkannya berjumpa Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Mubadala di Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Khaldoon Mubarak bagi kerja sulit untuk membincangkan hutang 1MDB yang dijamin IPIC tanpa perlu di bawa ke Mahkamah Antarabangsa.

Amhari Efendi berkata, beliau diarahkan Najib untuk melakukan perkara tersebut kerana pada waktu itu, pihak Abu Dhabi mahu membawa isu BTS antara IPIC dan 1MDB ke Mahkamah Arbitrasi Antarabangsa.

Amhari Efendi berkata, "Datuk Seri Najib berkata saya perlu pergi untuk mengesahkan dengan pihak Abu Dhabi bahawa kedua-dua negara bersetuju untuk menyelesaikan masalah ini tanpa ke Mahkamah Antarabangsa. Ini merupakan salah satu gerak kerja sulit oleh Datuk Seri Najib kepada saya oleh kerana pada masa itu isu hutang 1MDB terhadap IPIC sedang hangat diperkatakan."

Pada prosiding hari ini, pihak pembelaan selesai menyoal balas saksi penting pendakwaan itu selepas sesi soal balas berlangsung selama 16 hari.

Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Akram Gharib kemudian memulakan pemeriksaan semula terhadap Nur Aida membabitkan dokumen bank melalui Bantuan Undang-Undang Bersama (MLA) dari Barbados, Singapura dan Hong Kong.

Najib, 70, menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan rasuah berjumlah RM2.3 bilion milik 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung esok. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!