Isteri berzina, apakah tercerai perkahwinan?

DALAM sesetengah keadaan, lebih afdal bagi seorang suami untuk menutup kesalahan isterinya dan menceraikannya dengan cara yang baik tanpa melakukan qazaf mahupun li’an sekiranya tiada anak hasil daripada hubungan zina tersebut. Foto Pexels
DALAM sesetengah keadaan, lebih afdal bagi seorang suami untuk menutup kesalahan isterinya dan menceraikannya dengan cara yang baik tanpa melakukan qazaf mahupun li’an sekiranya tiada anak hasil daripada hubungan zina tersebut. Foto Pexels
A
A
A

ISLAM memerintahkan wanita supaya mentaati suaminya selagimana hubungan tersebut masih sah walau sejahat mana sekalipun akhlak dan perangai suaminya itu.

Bahkan ketaatan kepada suami selain ketaatan kepada ALLAH SWT dan Rasulullah SAW itu menjadi asbab kepada wanita itu untuk memasuki mana-mana pintu syurga.

Bagaimanapun sebagai manusia, para isteri tidak terlepas daripada melakukan dosa dan kesilapan termasuk melakukan zina dengan lelaki lain di belakang suaminya.

ISLAM sama sekali melarang melakukan zina malah mengambil pendekatan jangan sesekali menghampiri zina agar kesejahteraan institusi keluarga dapat dijaga. Foto CANVA
ISLAM sama sekali melarang melakukan zina malah mengambil pendekatan jangan sesekali menghampiri zina agar kesejahteraan institusi keluarga dapat dijaga. Foto CANVA

Persoalan yang timbul, apakah sudah terputus perkahwinan antara suami dan isteri itu? Bagaimana pula nasab anak hasil zina isteri dengan lelaki lain?

Menjawab isu ini, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan menjelaskan, zina yang dilakukan isteri tidak membatalkan perkahwinan selagimana suami tidak menceraikannya dengan lafaz talak atau li’an.

“Menurut mazhab Syafie, suami haram menafikan nasab anak sekiranya berlaku kemungkinan sama ada anak tersebut hasil daripada persetubuhan antara suami isteri atau hasil daripada perzinaan.

Artikel Berkaitan:

“Suami dibenarkan untuk melakukan li’an untuk menafikan nasab anak sekiranya mengetahui secara yakin anak tersebut bukan anaknya berdasarkan bukti yang ada,” jelasnya.

Terdahulu jabatan itu berkata, pembubaran perkahwinan mengikut hukum syarak tidak akan terlaksana melainkan dengan enam cara iaitu:

1 – Perceraian dengan lafaz talak.

2 - Fasakh.

3 – Cerai taklik.

4 – Tebus talak atau khulu’.

5 – Anggapan mati.

6 – Perceraian dengan li’an.

Li’an menurut takrif syarak ialah perkataan-perkataan yang dijadikan hujah oleh suami yang terpaksa menuduh isterinya kerana mencemari rumah tangga dan melemparkan aib kepada suami atau bertujuan untuk menafikan nasab.

“Ia menjadi salah satu pembubaran perkahwinan yang mana suami melakukan sumpah dengan nama ALLAH SWT sebanyak empat kali apabila dia menuduh isterinya berzina dan sumpah kelima bahawa laknat ALLAH ke atasnya sekiranya dia berdusta,” jelasnya dengan merujuk ayat ke-6 dan ke-7 Surah an-Nur.

Katanya, keadaan ini bertujuan untuk mengelakkan hukuman qazaf ke atas suami yang tidak dapat membuktikan tuduhan dengan membawa empat orang saksi kerana seseorang yang menuduh zina tanpa mendatangkan saksi akan dikenakan hukuman had qazaf.

“(Hukuman tersebut) iaitu 80 sebatan dan tergugur penyaksiannya berdasarkan ayat ke-4 Surah an-Nur,” katanya.

Menjelaskan lanjut, pensyariatan li’an merupakan rahmat ALLAH SWT kepada hamba-NYA bagi menjaga kemaslahatan suami yang mengetahu isterinya berzina namun tidak dapat menghadirkan saksi.

LI'AN menjadi salah satu pembubaran perkahwinan yang mana suami melakukan sumpah dengan nama ALLAH SWT sebanyak empat kali apabila dia menuduh isterinya berzina dan sumpah kelima bahawa laknat ALLAH ke atasnya sekiranya dia berdusta. Gambar hiasan/Foto CANVA
LI'AN menjadi salah satu pembubaran perkahwinan yang mana suami melakukan sumpah dengan nama ALLAH SWT sebanyak empat kali apabila dia menuduh isterinya berzina dan sumpah kelima bahawa laknat ALLAH ke atasnya sekiranya dia berdusta. Gambar hiasan/Foto CANVA

“Begitu juga disyariatkan kepada isteri yang dituduh berzina oleh suami secara li’an membebaskan dirinya daripada hukum had zina bagi penzina yang telah berkahwin iaitu direjam sehingga mati dengan bersumpah bahawa suaminya berdusta dan kemurkaan dan laknat ALLAH kepadanya jika suaminya benar berdasarkan firman ALLAH ayat ke-8 hingga ke-10 surah sama,” katanya.

Hukum qazaf Isteri

Menurut Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan lagi, perbuatan li’an tidak boleh tidak mestilah dilaksanakan selepas berlaku qazaf iaitu tuduhan zina ke atas isteri atau penafian nasab anak oleh suami dan dia (suami) tidak dapat mendatangkan saksi serta bukti.

“Tujuan li’an adalah sebagai hujah penting yang diperlukan bagi membebaskan diri daripada had qazaf dan menafikan nasab,” katanya.

Menurutnya lagi, Syeikh Muhammad az-Zuhaili menjelaskan dalam kitabnya, hukum suami menuduh isteri berzina berbeza mengikut keadaan seperti berikut:

1 - Harus qazaf

Apabila suami yang mengetahui isterinya berzina, diharuskan melakukan qazaf ke atas isteri dengan mengikuti syarat-syarat qazaf atau memilih untuk mendiamkan serta menyembunyikan perzinaan isteri sekiranya tiada anak hasil daripada hubungan tersebut.

Dalam keadaan ini suami mengetahui isterinya berzina dengan cara berikut:

I - Dia telah melihat dengan matanya perbuatan zina tersebut.

II - Bersangka dengan sangkaan yang tetap dan yakin serta wujudnya bukti.

III - Isteri mengaku bahawa dia telah berzina dan suami mempercayainya.

IV - Suami diberitahu oleh seorang yang amanah dan dipercayai tentang perzinaan isteri.

“Walau bagaimanapun, suami menutup atau menyembunyikan perzinaan itu adalah lebih baik daripada melakukan qazaf, kemudian menceraikan isteri sekiranya suami tidak mahu lagi hidup bersama isteri.

“Suami perlu menasihati isteri untuk bertaubat dan memperbaiki kesalahannya. Tindakan ini sememangnya dapat menutup keaiban dosa isteri. Namun begitu, tidak haram sekiranya suami masih ingin kekal bersama isteri, menerimanya dan tidak menceraikannya,” jelasnya.

2 - Wajib qazaf

Seorang suami wajib menuduh isterinya berzina atau menafikan nasab dengan li’an apabila isteri melahirkan seorang anak dan suami tersebut mengetahui bahawa anak tersebut bukanlah anaknya.

Suami dapat mengesahkan atau yakin bahawa anak tersebut bukan daripadanya apabila suami tidak pernah menyetubuhi isteri atau anak tersebut dilahirkan kurang enam bulan daripada masa suami menyetubuhi isteri.

Nasab anak hasil zina isteri

Menurutnya, sekiranya suami mengetahui isterinya berzina tetapi wujud kemungkinan (ihtimal) bahawa anak tersebut daripadanya dan juga daripada perbuatan zina, maka haram suami untuk menafikan nasab anak untuk menjaga perkahwinan tersebut.

PERBUATAN zina yang dilakukan isteri tidak membatalkan perkahwinan selagimana suami tidak menceraikannya dengan lafaz talak atau li’an. Gambar hiasan/Foto CANVA
PERBUATAN zina yang dilakukan isteri tidak membatalkan perkahwinan selagimana suami tidak menceraikannya dengan lafaz talak atau li’an. Gambar hiasan/Foto CANVA

“Bahkan haram untuk qazaf dan li’an dalam pendapat yang sahih.

“Suami tidak boleh menafikan nasab anak daripadanya jika telah berlaku imkan ad-dukhul iaitu persetubuhan antara suami dan isteri berdasarkan sabda Rasulullah SAW:

“Nasab anak kepada perkahwinan yang sah, sedangkan penzina adalah keaiban.” (Hadis Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

Bagaimanapun, jika tidak berlaku persetubuhan dalam keadaan tersebut seperti suami tidak menyetubuhi isterinya selepas berkahwin kemudian menceraikannya atau suami dan isteri tinggal berjauhan yang tidak mungkin berlaku persetubuhan namun isteri hamil, maka nasab anak ternafi daripadanya tanpa perlu suami melakukan li‘an.

Sebagai kesimpulannya, jabatan itu menjelaskan, menuduh seseorang melakukan zina merupakan perkara yang keji lebih-lebih lagi jika tiada saksi dan bukti kukuh.

“Namun begitu, pensyariatan li’an merupakan cara suami untuk menafikan nasab anak yang terhasil daripada perzinaan isteri yang telah mencemarkan kesucian hubungan perkahwinan mereka.

“Dalam sesetengah keadaan, lebih afdal bagi seorang suami untuk menutup kesalahan isterinya dan menceraikannya dengan cara yang baik tanpa melakukan qazaf mahupun li’an sekiranya tiada anak hasil daripada hubungan zina tersebut,” katanya.

Bagaimanapun, suami dinasihatkan untuk merujuk dan mendapat pandangan daripada mahkamah bagi melakukan proses li’an kerana proses mengangkat sumpah ini hendaklah dilaksanakan di hadapan hakim sebagaimana yang telah dinyatakan dalam Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984, Seksyen 50A Perceraian dengan li’an.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!