Kerajaan kena tegas elak diesel subsidi 'diratah' rakyat asing

Dua buah trak pikap dari Thailand didapati mengisi minyak di stesen minyak berdekatan sempadan. Gambar kecil: Syed Araniri
Dua buah trak pikap dari Thailand didapati mengisi minyak di stesen minyak berdekatan sempadan. Gambar kecil: Syed Araniri
A
A
A

CHANGLUN - Kerajaan diminta bertindak lebih tegas terhadap kenderaan diesel dari negara jiran yang memasuki negara ini bagi mengurangkan subsidi bahan api itu ‘diratah’ rakyat asing.

Aktivis masyarakat, Syed Araniri Syed Ahmad Al Idrus menyarankan agar setiap kenderaan asing yang ingin memasuki negara dikenakan syarat baharu seperti perlu penuhkan tangki minyak terlebih dahulu bagi mengelak disalah guna.

Menurutnya, Malaysia boleh mencontohi Singapura yang menetapkan rakyat negara itu perlu mengisi sekurang-kurangnya separuh tangki minyak sebelum memasuki negara ini.

“Kerajaan Singapura menetapkan 3/4 tangki minyak diisi sebelum masuk ke Malaysia. Itu antara penguatkuasaan kerajaan Singapura di sempadan.

“Kerajaan Thailand tidak menguatkuasakan peraturan seperti Singapura, kenderaan dari Thailand masuk negara ini dengan tangki hampir kosong pun dibenarkan.

“Oleh itu kerajaan harus ambil inisiatif ketatkan peraturan, seperti mana-mana kenderaan Thailand yang mahu masuki negara perlu mengisi minyak 3/4 tangki, macam mana nak seludup kalau tangki sudah penuh sebelum masuk Malaysia,” katanya di sini pada Rabu.

Laporan Sinar Harian pada Sabtu.
Laporan Sinar Harian pada Sabtu.

Syed Araniri berkata, kawalan seperti itu boleh dilakukan sebagai sekatan di kawasan sempadan yang berlaku banyak ketirisan dan penyeludupan petrol.

Artikel Berkaitan:

“Jika tiada peraturan baharu, masalah seludup tidak akan selesai sebab stesen minyak hanya fikirkan keuntungan, sukar untuk buat pemantauan berterusan.

“Sekiranya penyasaran subsidi diesel dilaksanakan, namun tiada kawalan di sempadan, isu penyeludupan tak akan selesai,” ujarnya.

Menurutnya, rakyat Thailand pula akan terus menyeberangi sempadan semata-mata untuk mengisi minyak pada harga murah disebabkan harga di negara jiran itu lebih tinggi.

“Penyeludup pula tetap guna pelbagai taktik untuk seludup. Tidak dinafikan ada rakyat tempatan seludup petrol ke Thailand sebab permintaan tinggi.

“Kebanyakan kenderaan tersebut diubah suai dengan menempatkan tangki tambahan yang tersembunyi agar tidak dapat dikesan penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN),” ujarnya.

Jelasnya, modus operandi lain termasuk mengupah rakyat tempatan mengisi petrol di stesen minyak tempatan menggunakan kenderaan tempatan bagi mengaburi penguat kuasa sebelum bertindak memindahkan di lokasi tertentu.

Penduduk, Hashim Isa, 60, berkata, penduduk sekitar Changlun dan Bukit Kayu Hitam sudah lali melihat kereta nombor pendaftaran Thailand mengisi minyak subsidi di stesen berdekatan sempadan, khususnya kawasan terpencil.

“Sebaik pintu sempadan dibuka dan stesen minyak mula beroperasi, berpusu-pusu kereta Thailand isi minyak. Ada datang semata-mata untuk isi minyak murah dan balik semula ke Thailand selepas tangki penuh.

“Ini bukan perkara baharu, walaupun penguat kuasa bertindak, senyap sekejap, selepas itu rancak semula,” katanya.

Menurutnya, aktiviti tersebut berlaku pada dua waktu kemuncak, iaitu sekitar 6 hingga 7.30 pagi dan 5 petang hingga 7.30 malam.

“Mereka licik, apabila ada kenderaan mencurigakan berdekatan stesen minyak, kemungkinan besar mereka tak singgah sebab bimbang diintai penguat kuasa.

“Saya harap bila subsidi diesel secara bersasar dikuatkuasakan, aktiviti ini akan berkurang, termasuk penyeludupan minyak menerusi ubah suai tangki kenderaan,” katanya.

Osman Harun, 45, berharap penyasaran subsidi diesel dapat mengekang rakyat Thailand daripada berterusan ‘meratah’ subsidi minyak untuk rakyat tempatan.

“Ada beberapa stesen minyak jual kepada trak pikap dan van pelancong Thailand, tetapi pada waktu tertentu sahaja, selalunya kelibat kereta asing itu kelihatan sekitar 6.30 petang hingga 8.00 malam.

“Mereka biasa ke stesen minyak dalam kampung. Kalau dalam pekan, mereka beli ikut syarat, sekali isian 20 liter. Kemudian mereka pergi ke sebuah stesen minyak ke stesen lain mungkin lima buah, untuk isi penuh tangki,” katanya.

Sementara pengguna dari Thailand dikenali Vitt berkata, tidak hairanlah bahan api tersebut menjadi pilihan kerana harga murah berbanding Thailand.

“Di Thailand, tangki penuh sekitar RM200, isi di Malaysia RM100, tentulah ramai isi di sini sebab lebih murah. Lagi pun, sempadan negara dekat sahaja, sebab itu memang banyak kali isi,” katanya.

Menurutnya, tidak dapat dipastikan sama ada penyasaran subsidi diesel oleh Malaysia beri kesan kepada pengguna Thailand, kerana harga baharu belum diumumkan.

“Kalau harga masih murah berbanding Thailand, stesen minyak Malaysia tetap jadi pilihan. Kalau mahal atau sama harga, mungkin isi semula di negara kami,” jelasnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!