Jangan ambil ringan sakit demam anak, pesan Tunku Azizah

Tunku Azizah berkenan merasmikan Hospital Tunku Azizah (HTA) yang dahulunya dikenali sebagai Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Kuala Lumpur di Hospital Kuala Lumpur hari ini. -FOTO: BERNAMA
Tunku Azizah berkenan merasmikan Hospital Tunku Azizah (HTA) yang dahulunya dikenali sebagai Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Kuala Lumpur di Hospital Kuala Lumpur hari ini. -FOTO: BERNAMA
A
A
A

KUALA LUMPUR - Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menasihatkan para ibu agar menjaga kesihatan anak ketika penularan pelbagai penyakit ketika ini.

Baginda bertitah setiap ibu perlu peka dengan tahap kesihatan anak dan tidak memandang ringan sakit demam yang dihidapi anak mereka.

“Kepada para ibu, saya menasihatkan yang anak adalah anugerah ALLAH dan itu adalah tugas kita sebagai ibu untuk membesarkan anak kita dengan sihat.

“Jangan tunggu anak dah demam seminggu dua baru nak bawa ke hospital, kerana sekarang ni macam-macam jenis penyakit,” titah Tunku Azizah.

Raja Permaisuri Agong bertitah demikian pada majlis perasmian Hospital Tunku Azizah (HTA) yang dahulunya dikenali sebagai Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Kuala Lumpur.

Pada majlis itu, baginda diiringi Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Jihan Azizah 'Athiyatullah.

Turut hadir, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dan Pengarah HTA, Dr Roniyuzam Abdul Malek.

Berkongsi pengalaman, Tunku Azizah bertitah sentiasa mengambil berat kesihatan semua anakanda baginda dari lahir sehingga dewasa.

Artikel Berkaitan:

“Saya tentukan yang mereka (anakanda) menerima imunisasi sebagaimana yang dituntut oleh kerajaan kita dari lahir sehingga mereka masuk ke sekolah dan ke universiti kerana kesihatan anak adalah penting untuk generasi akan datang,” titah baginda.

Dalam titah baginda, Tunku Azizah menzahirkan ucapan tahniah kepada kerajaan yang telah menubuhkan sebuah hospital khas untuk wanita dan kanak-kanak.

Baginda turut merakamkan ucapan terima kasih kepada pihak kerajaan yang telah menamakan HTA sempena nama baginda.

Pada majlis itu, Tunku Azizah turut berkenan melawat pusat transplan sel stem dan pusat perubatan reproduktif yang terdapat di hospital berkenaan.

HTA adalah hospital kerajaan pertama yang dibangunkan dengan kaedah pembiayaan inisiatif swasta dengan kerjasama sektor swasta iaitu UEM Group Berhad dan Najcom Sdn Bhd.

Mula beroperasi secara berperingkat pada 25 Februari 2019, HTA adalah Hospital Rujukan Kebangsaan dan Pusat Kecemerlangan Perkhidmatan Perawatan Kesihatan khusus kepakaran untuk wanita dan kanak-kanak (obsterik dan ginekologi serta pediatrik)

HTA dilengkapi 378 katil untuk pediatrik, obstetrik dan ginekologi (222), unit penjagaan rapi dewasa (24), unit penjagaan pediatrik (32), penjagaan rapi neonatal (50), bone marrow transplant (16) dan lapan katil masing-masing untuk Pediatric Burn Bath dan Apheresis Daycare Unit.

Selain itu, HTA mempunyai tiga unit dewan bedah ginekologi, dewan bedah pediatrik (sembilan), dewan bedah Hybrid Neuro (satu), dewan bedah bersalin (dua), suite kimoterapi bagi ginekologi (lapan) dan satu pusat perubatan reproduktif. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!