Kisah duka dan derita jadi pengajaran hidup
BEBERAPA hari kebelakangan ini, kisah pasangan yang membawa bayi 11 bulan menghidap sakit kronik dan memakai alat bantuan pernafasan dibawa membonceng motosikal, heboh diperkatakan.
Gambar mereka bertiga kemudian tular di media sosial dan mendapat perhatian ramai.
Tidak terkecuali, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut meluahkan rasa simpati selain berjanji menyantuni pasangan dan bayi tersebut.
Kisah mereka kemudian terpampang di dada akhbar sekali gus mendorong lebih ramai untuk turut menyumbang termasuk sebuah kereta diberikan syarikat kenderaan terpakai.
Di sebalik kisah ini tular, terbongkar pula mengenai status perkahwinan pasangan terbabit yang dipercayai masih belum didaftarkan.
Itu antara cebisan kisah realiti masyarakat yang wujud dalam kalangan kita.
Malah penulis sendiri pernah berhadapan situasi lebih kurang sama beberapa tahun lalu.
Antaranya, ‘sepasang suami isteri’ terpaksa bermalam dalam kereta bersama bayi yang masih dalam pantang akibat kesempitan hidup.
Selepas tular dan dipindahkan ke sebuah rumah tumpangan dengan wang sumbangan diterima lebih enam angka, baharulah terbongkar bahawa pasangan terbabit sebenarnya masih belum berkahwin.
Mereka juga dikhabarkan dihalau keluar dari rumah, gara-gara membawa pulang bayi dalam pantang, memandangkan belum mempunyai ikatan yang sah.
Lebih tersentuh hati, penulis pernah berdepan kisah seorang wanita sarat mengandung bersama dua anak yang masih kecil dibawa oleh suami berteduh dalam khemah yang hanya ditutupi kanvas dan baju terpakai kerana tidak mampu menyewa rumah.
Bayangkan dengan keadaan panas dan tidak selesa selain hanya bergantung harap kepada sumber air di dalam tong untuk bersihkan diri setiap hari.
Kisah itu turut mendapat perhatian badan bukan kerajaan (NGO) dengan menyediakan sebuah rumah di mana kos sewaan ditanggung oleh pihak zakat.
Ketua keluarga juga diberikan pekerjaan sebagai tukang cuci sementara anak dan isteri dipindahkan ke rumah baharu.
Bagaimanapun, ‘perangai’ mereka terbongkar apabila si suami liat masuk kerja walaupun telah diberikan kemudahan sewajarnya.
Sebagai seorang ibu, penulis juga khuatir berdepan masalah keruntuhan akhlak dan gejala sosial yang semakin menjadi-jadi dalam kalangan masyarakat.
Kurangnya didikan agama kemungkinan antara faktor berlaku perbuatan jenayah syariah termasuk kelahiran bayi tanpa nikah.
Selain itu, penyalahgunaan dadah juga mungkin menjadi penyebab kepada perilaku tidak sihat dalam komuniti setempat.
Sebagai warganegara bertanggungjawab, tidak perlu menuding jari ke mana-mana pihak sebaliknya, jom kita sama-sama berganding bahu dalam usaha membanteras gejala tidak sihat in yang memberi kesan tidak baik pada negara.
Peribahasa ‘jaga tepi kain orang’ dirasakan sangat baik untuk dipraktikkan sesama jiran, saudara dan rakan.
Dalam masa sama, di sebalik kes tular yang berlaku, pendedahan seumpama ini juga sebenarnya membuka mata masyarakat untuk terus memberi perhatian agar mampu menyelamatkan individu terbabit supaya tidak terus terjerumus ke lembah maksiat.
Peranan ibu bapa, pihak agama, penguat kuasa dan agensi berkaitan harus diperkasakan demi membendung perkara ini dari berlarutan.
Alhamdulillah, dengan kuasa ‘viral’ media sosial, pasangan tular yang membawa bayi sakit kronik, telah pun selamat bernikah pada Selasa, hasil campur tangan imam masjid.
Berdasarkan kenyataan Pengerusi Masjid Al Maarufi Seberang Kota, Muhammad Hazamer, berasa lega dengan bantuan semua pihak yang telah berjaya menyatupadukan pasangan berkenaan secara sah dari segi undang-undang jenayah syariah.
Masyarakat diharap terus memberi sokongan kepada pasangan berkenaan untuk meneruskan kehidupan baharu.
* Siti Zubaidah Zakaraya Wartawan Sinar Harian Kedah
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!