Pempengaruh punca ramai tidak minat sambung belajar?

Foto hiasan
Foto hiasan
A
A
A

DALAM era globalisasi kini, pendidikan tinggi menjadi tunjang utama pembangunan sumber manusia bagi sesebuah negara, namun realiti menunjukkan bahawa generasi sekarang semakin tidak berminat untuk menyambung pelajaran.

Malah, lebih membimbangkan apabila terdapat juga golongan yang sanggup tidak menghadiri dan menduduki peperiksaan penting seperti Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tanpa berfikir panjang.

Sinar Harian pada Rabu melaporkan, tiada pembimbing sehingga terpengaruh dengan dakyah segelintir pempengaruh media sosial bahawa boleh berjaya dan kaya tanpa SPM dilihat antara faktor menyumbang kepada statistik lebih 10,000 calon tidak hadir menduduki peperiksaan itu.

Pengerusi Kumpulan Bertindak Ibu Bapa bagi Pendidikan (PAGE), Datin Noor Azimah Abdul Rahim berkata, golongan pelajar mudah terjebak dengan pempengaruh untuk mendapatkan pendapatan mudah tanpa memerlukan sebarang kelulusan.

Tidak dapat dinafikan bahawa sudut pandang golongan muda kebanyakannya dicorakkan oleh media sosial melalui lambakan pempengaruh yang tidak bermutu dan berpendidikan serta dangkal terutamanya selepas pandemik Covid-19.

Ini kerana, semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), pelbagai aplikasi di media sosial yang telah wujud dan menyebabkan golongan berkenaan lebih banyak menghabiskan masa di platform terbabit sehingga mudah terpengaruh.

Sebahagian besar golongan pempengaruh menjadi idola dan pujaan bagi segelintir masyarakat dan warga muda khususnya disebabkan harta, kekayaan, kemasyhuran serta paras rupa yang dimiliki.

Lebih menyedihkan apabila terdapat juga pempengaruh yang meremehkan ketertinggian nilai pendidikan melalui kata-kata seperti ‘tidak perlu belajar tinggi pun boleh pakai kereta mewah’ yang seolah-olah menggambarkan diri mereka adalah definisi sebenar kejayaan.

Artikel Berkaitan:

Pada akhirnya, sudut pandang bertuhankan material ini mempengaruhi cara berfikir warga muda yang kini mula mendefinisikan kejayaan melalui kekayaan dan harta benda.

Atas itu, tidak hairanlah wujud sebahagian warga muda yang mula berangan-angan untuk menjadi kaya dengan segera seperti idolanya hingga lupa tentang realiti kehidupan.

Sebahagian golongan muda yang terinspirasi dengan idola mereka ini akhirnya menjadikan media sosial sebagai matlamat akhir atau platform kejayaan berbanding berlumba-lumba menjejakkan kaki ke alam pendidikan tertinggi.

Justeru itu, pihak kerajaan perlu mengambil langkah lebih agresif dan proaktif untuk menarik minat anak muda melanjutkan pelajaran sama ada melalui pendidikan akademik atau teknikal.

Selain itu, diharapkan juga golongan pempengaruh ini dapat mencipta kandungan yang benar-benar bermanfaat demi masa depan negara yang lebih baik.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!