Jangan tutup laluan di premis dengan stok barang!
KUALA TERENGGANU - Menutup laluan kecemasan dan laluan utama dengan limpahan stok barangan antara kesalahan yang sering dilakukan di pasar raya dan premis perniagaan setiap kali musim perayaan.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu, Mohamad Shoki Hamzah berkata, situasi itu bukan sahaja berbahaya, malah boleh mengundang risiko yang lebih besar sekiranya berlaku kecemasan seperti kebakaran.
Disebabkan itu katanya, bomba mempergiatkan pemeriksaan di lokasi tumpuan orang ramai khususnya di pasar raya sempena sambutan Tahun Baru Cina kali ini.
"Pada tahun lepas, kita telah membuat pemeriksaan di 113 premis sempena sempena sambutan Tahun Baru Cina. Daripada jumlah itu, kita telah keluarkan 59 Notis Penghapusan Bahaya Kebakaran kerana pelbagai kesalahan.
"Bagi tahun ini, kita sasarkan untuk memeriksa 125 premis di seluruh Terengganu. Setakat ini, lebih separuh daripadanya telah kita periksa.
"Sekiranya mereka tidak memenuhi syarat yang ditetapkan, kita akan keluarkan notis tempoh, bergantung pada setiap kesalahan yang dibuat. Jika ingkar selepas notis diberikan, mereka boleh didenda maksimum sehingga RM5,000 atau tiga tahun penjara," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media setelah membuat pemeriksaan Penghapusan Bahaya Kebakaran (MBK) sempena Tahun Baru Cina di pasar raya The Store di sini hari ini.
Jelas beliau, antara kesalahan yang sering dilakukan ialah ketidakpatuhan kepada sistem, laluan terhalang, peralatan sistem kebakaran yang dipasang tidak berfungsi dengan baik dan tidak diselenggarakan dengan baik.
"Kebanyakan pasar raya dan pusat-pusat membeli-belah, kita dapati kawasan simpanan dan laluan utama banyak dipenuhi barangan. Jadi, kita nak memastikan sekiranya berlaku kecemasan di pasar raya, pengunjung tahu di mana laluan keluar.
"Kita juga nak pastikan pekerja telah dilatih bagaimana nak gunakan barangan dan kemudahan keselamatan di premis serta bagaimana nak ajar pengunjung sekiranya berlaku kecemasan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!