Kebersihan cerminan kemabruran haji
MAKKAH - Aspek kebersihan yang dijaga dengan rapi terutama ketika operasi Masyair nanti akan menjadi cerminan kepada kemabruran haji seseorang jemaah.
Ketua Rombongan Tabung Haji (TH), Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata, kebersihan ini turut disifatkan sebagai pelengkap bagi seseorang jemaah dalam mendapatkan haji mabrur.
Menurutnya, amalan kebersihan yang sinonim sebagai tanda aras jemaah Malaysia ini perlu konsisten dikekalkan sejak sewaktu ketibaan di Tanah Suci sehingga ke menjelang pulang ke tanah air.
"Untuk mendapatkan haji mabrur, antara ciri-ciri yang perlu dijaga ialah kebersihan kerana ini sebahagian daripada iman. Sudah tentu kebersihan perlu dijaga.
"Masalahnya ada segelintir yang buat ibadat seperti umrah berkali-kali tapi bab kebersihan tidak dijaga terutama ketika hari Masyair. Ini kerana situasi pada masa itu cukup mencabar," katanya dalam sidang media selepas melancarkan Program Kebersihan Maktab di Hotel Diary Al Saad, semalam.
Program Kebersihan ini diilhamkan selepas TH mencapai kejayaan menerusi Kempen Kebersihan yang dilancarkan sejak tujuh tahun lalu.
“Kempen Kebersihan ini kemudian diperluas ke maktab penginapan jemaah haji pada tahun 2018 sebagai salah satu cara untuk memupuk semangat kerjasama dan gotong royong," ujarnya.
Dalam pada itu, Syed Saleh berkata, sebagaimana tahun sebelumnya, pihak TH menganjurkan Kempen Kebersihan Maktab dalam memastikan aspek kebersihan kekal menjadi penanda aras tertinggi jemaah haji Malaysia.
“Jika sebelum kempen ini wujud, kebersihan agak kurang membanggakan, jemaah tinggalkan khemah dalam keadaan yang kurang enak dipandang.
“Namun, selepas adanya kempen kebersihan ini saya rasa cukup bangga dengan sikap yang ditunjukkan jemaah dan kita tidak tinggalkan sebarang sampah,” katanya.
Katanya, program tersebut juga berjaya menjadi contoh kepada negara lain serta mendapat kepujian Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi.
“Kita bukan sahaja menekankan kebersihan tapi kita tekankan sikap gotong royong dan muafakat lebih-lebih lagi dengan jumlah yang agak ramai dalam satu bilik.
“Seperti kita sedia maklum ada lima ke enam orang terdiri daripada pelbagai latar dan tahap sosio ekonomi. Jadi dengan cara sebegini ia secara tidak langsung merapatkan hubungan sesama jemaah,” jelasnya.
Sementara itu, Syed Saleh berkata, TH akan mengadakan pertandingan bilik terbersih yang mempunyai dua kategori iaitu bilik terbersih bagi jemaah wanita dan juga bilik terbersih jemaah lelaki.
“Dua kategori ini akan ada hadiah bagi pemenang untuk setiap hotel. Semoga program ini dapat menekankan bukan sahaja aspek kebersihan tetapi juga sikap gotong royong serta permuafakatan antara jemaah,” katanya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!