41 ADUN Bersatu serah Surat Arahan MPT

A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Seramai 41 daripada 60 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dari lapan negeri telah menyerahkan Surat Arahan Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) setakat ini.

Lapan negeri tersebut ialah Kedah seramai 11 ADUN, diikuti Perak sembilan orang manakala masing-masing lima bagi Perlis, Terengganu dan Kelantan sementara dua bagi Johor, Pahang serta Melaka.

Perkara tersebut dimaklumkan oleh Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin menerusi lapan hantaran berbeza di laman Facebook pada Khamis.

“Ketua Badan Pimpinan Negeri (BPN) Pahang yang juga Ahli Parlimen Indera Mahkota, Datuk Seri Saifuddin Abdullah telah menyerahkan surat arahan ini daripada dua ADUN Pahang kepada Timbalan Presidennya, Datuk Seri Faizal Azumu.

“Mereka ialah ADUN Lepar, Mohd Yazid Mohd Yunus dan ADUN Kuala Sentul, Datuk Jasri Jamaludin.

“Semua 11 ADUN Kedah turut menandatangani Surat Arahan MPT dan telah diserahkan oleh Ahli Parlimen Merbok yang juga Setiausaha BPN Kedah, Mohd Nazri Abu Hassan,” katanya.

Sebelum ini, Bersatu dilapor memberi tempoh 14 hari kepada ADUN dan Ahli Parlimen parti itu untuk membalas dan menandatangani Surat Arahan MPT bermula 17 Mei dan berakhir pada Khamis.

Hamzah berkata, kegagalan mereka berbuat demikian akan menyebabkan keahlian dalam Bersatu terhenti dengan serta-merta menurut Fasal 10.4 Perlembagaan Bersatu iaitu berkaitan hal-hal pemberhentian dan pemecatan ahli.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Hamzah berkata, Ketua BPN Johor yang juga ADUN Bukit Kepong, Datuk Sahruddin Jamal turut selesai berbuat demikian.

"Surat Arahan MPT ini ditandatangani olehnya (Sahruddin) serta ADUN Endau, Alwiyah Talib dan telah diserahkan sebentar tadi. Alhamdulillah.

“Setiausaha BPN Perlis, Azahar Hassan juga menyerahkan Surat Arahan MPT yang ditandatangani ke semua lima ADUN Perlis dari Bersatu.

“Malah, Timbalan Ketua BPN Terengganu yang juga Ketua Bahagian Bersatu dan Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Datuk Rosol Wahid telah menyerahkan Surat Arahan MPT yang disempurnakan ke semua lima ADUN Terengganu,” ujarnya.

Tambah Hamzah, beliau turut menerima dokumen terbabit dari ADUN Kelantan yang diserahkan oleh Setiausaha BPN yang juga Ketua Bahagian Pangkalan Chepa, Ahmad Nasruddin Abdullah.

“Selain itu, kedua-dua ADUN Melaka iaitu Dr Mohd Yadzil Yaakub dan Dr Aleef Yusof juga melakukan perkara sama dan berikrar untuk istiqamah bersama Bersatu.

“Sebelum ini, Surat Arahan MPT daripada sembilan ADUN Perak juga telah diterima dan diserahkan oleh Timbalan BPN Perak yang juga Ketua Bahagian Batu Gajah, Mohader Ahmad Mohammad Ayob,” katanya lagi.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!