Pecah amanah: Bekas Presiden PPOC dijel tiga hari, denda RM80,000

Bekas Presiden PPOC Perak dijatuhi hukuman penjara tiga hari dan denda RM80,000 selepas mengaku bersalah atas tiga pertuduhan pecah amanah membabitkan nilai hampir RM500,000, lima tahun lalu.
Bekas Presiden PPOC Perak dijatuhi hukuman penjara tiga hari dan denda RM80,000 selepas mengaku bersalah atas tiga pertuduhan pecah amanah membabitkan nilai hampir RM500,000, lima tahun lalu.
A
A
A

IPOH - Mahkamah Sesyen Ipoh pada Khamis menjatuhkan hukuman penjara tiga hari dan denda RM80,000 terhadap bekas Presiden Persatuan Pemulihan Orang Cacat (PPOC) Perak selepas mengaku bersalah atas tiga pertuduhan pecah amanah membabitkan nilai hampir RM500,000, lima tahun lalu.

Kamarulzaman Abdullah, 65, membuat pengakuan itu sejurus pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Datuk Ibrahim Osman.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh sebagai Presiden PPOC yang diamanahkan dengan wang hasil penjualan dua bidang tanah Lot di Kampung Tengku Husin Baharu, Ipoh milik persatuan yang bernilai RM540,000, telah melakukan pecah amanah jenayah dengan memindahkan sebahagian wang penjualan tanah berjumlah RM413,974 ke dalam lima akaun peribadi miliknya.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Maybank Cawangan Gunung Rapat dalam daerah Ipoh pada Disember 2019.

Pertuduhan kedua dan ketiga, tertuduh didakwa melakukan kesalahan sama dengan memindahkan wang masing-masing berjumlah RM30,000 dan RM48,500 ke dalam akaun bank dua syarikat milik anak tiri perempuannya berusia 48 tahun di lokasi sama pada 8 November 2019 dan 1 Januari 2020.

Bagi ketiga-tiga pertuduhan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 406 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dengan sebatan serta denda.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mohd Shafiqzan Suhaimi manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara tiga hari serentak dari tarikh sabitan hukuman pada Khamis.

Artikel Berkaitan:

Mahkamah turut memerintahkan hukuman penjara terhadap tertuduh ditambah lapan bulan lagi sekiranya gagal membayar denda berkenaan.

Pada prosiding itu, mahkamah menetapkan agar wang tunai yang disita berjumlah RM11,200 dan wang simpanan RM49,903 dalam empat akaun bank termasuk faedah sehingga 30 Mei 2024 dilucuthakkan di bawah Seksyen 40(1) (a) Akta SPRM 2009 kepada kerajaan Malaysia.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!