Cliff Umar mengaku miliki heroin
SHAH ALAM - [DIKEMASKINI] Juara sebuah program realiti TV, Cliff Umar mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini pada Khamis, atas satu pertuduhan memiliki dadah jenis heroin, Ahad lalu.
Cliff Umar atau nama sebenarnya, Abdullah Umar Joseph, 42, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret, Sasha Diana Sabtu.
Bagaimanapun, mahkamah menetapkan 31 Julai untuk sebutan laporan kimia, sebelum menjatuhi hukuman.
Mengikut pertuduhan, vokalis Projek Pistol itu didakwa memiliki dadah disyaki jenis heroin, seberat 0.39 gram, di tepi Jalan Persiaran Kewajipan, Subang Jaya dekat sini pada jam 3.30 petang, 26 Mei lalu.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 12 (3) akta sama, yang membawa hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda tidak melebihi RM100,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Annur Athirah Amran mencadangkan tertuduh diberi ikat jamin sebanyak RM6,000.
Bagaimanapun, peguam, Sallehuddin Salam yang mewakili penyanyi rock itu merayu kadar tersebut dikurangkan kerana anak guamnya perlu menanggung isteri dan empat anaknya yang masih bersekolah.
“Anak guam saya bekerja sebagai pemain muzik dan pendapatan tidak menentu," katanya.
Mahkamah kemudiannya membenarkan Cliff Umar diikat jamin sebanyak RM3,300 dengan seorang penjamin dan menetapkan 31 Julai depan untuk laporan kimia kes terbabit.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!