Satu juta 'fleet card' tersedia di lima syarikat minyak

Arminzan ketika meninjau kaunter pendaftaran yang dibuka sempena Hari Terbuka SKDS 2.0 pada Khamis.
Arminzan ketika meninjau kaunter pendaftaran yang dibuka sempena Hari Terbuka SKDS 2.0 pada Khamis.
A
A
A

PUTRAJAYA - Satu juta stok 'fleet card' tersedia di lima syarikat minyak bagi memenuhi permintaan 23 jenis kenderaan yang layak melalui Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) 2.0.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, itu langkah kesiapsiagaan dalam agenda penyasaran semula subsidi diesel.

"Mana-mana syarikat yang layak jangan bertangguh untuk memohon mendapatkan surat kelulusan SKDS 2.0 dan fleet card daripada syarikat minyak seperti Petronas, Shell, Petron, Caltex dan BHP.

"Kami terus komited menjayakan inisiatif penyasaran subsidi diesel dalam menangani isu ketirisan dan penyelewengan pemberian kerajaan," katanya pada sidang media ketika Hari Terbuka Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi 2.0 di Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) di sini pada Khamis.

Turut hadir, Timbalan Menteri KPDN, Fuziah Salleh.

Pada 23 Mei lalu, Armizan mengumumkan kerajaan belum menetapkan tarikh sebenar pelaksanaan penyasaran subsidi diesel meskipun secara prinsipnya akan dilaksanakan pada tahun ini.

Fuziah (kiri), Armizan dan Ketua Setiausaha KPDN, Datuk Seri Mohd Sayuthi Bakar (kanan) pada sidang media ketika Hari Terbuka SKDS 2.0 pada Khamis.
Fuziah (kiri), Armizan dan Ketua Setiausaha KPDN, Datuk Seri Mohd Sayuthi Bakar (kanan) pada sidang media ketika Hari Terbuka SKDS 2.0 pada Khamis.

Menurutnya, perkara tersebut hanya akan dilaksanakan sekiranya Jemaah Menteri berpuas hati dengan segala mekanisme penyasaran tersebut termasuk memastikan semua kumpulan sasar layak mendapatkan bantuan sosial berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Tambah Armizan, persepsi ramai yang menggambarkan kerajaan mansuh atau menghapuskan subsidi adalah tidak tepat.

"Subsidi itu tetap wujud dan disasarkan semula untuk menangani isu ketirisan subsidi rakyat yang telah berlaku sejak sekian lama apabila pendekatan subsidi pukal diguna pakai.

"Kini, subsidi diesel disalurkan secara bersasar melalui dua kaedah iaitu pertama subsidi harga runcit di stesen minyak kepada 33 jenis pengangkutan awam dan barangan yang disasarkan melibatkan anggaran 410,000 kenderaan diesel di Semenanjung Malaysia. Pelaksanaan melalui SKDS dikawal selia KPDN.

"Kedua, subsidi bantuan tunai RM200 kepada isi rumah yang menggunakan kenderaan diesel sama ada bagi kategori individu mahupun agri-komoditi dan penyelarasan dibuat oleh Kementerian Kewangan," katanya.

Permohonan bagi mendapatkan surat kelulusan SKDS 2.0 yang mudah dan cepat hanya secara atas talian melalui https://mysubsidi.kpdn.gov.my.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!