'Hafiz Fauzan tidak tonton bola dengan rakan seperti dijanjikan'
BATU PAHAT - Pelajar, Hafiz Fauzan Abdul Halid, 17, yang dilaporkan hilang selepas didakwa keluar menonton perlawanan bola sepak pada Ahad dikatakan tidak menonton perlawanan tersebut bersama rakannya.
Perkara itu disahkan bapa pelajar berkenaan, Abdul Halid BatySugiman, 44, setelah dimaklumkan bahawa rakan anaknya itu mengikuti rombongan sekolah ke Pesta Buku 2024, di Kuala Lumpur.
"Setelah mengambil (Hafiz Fauzan) pulang dari asrama sempena cuti sekolah kali ini, dia minta izin untuk keluar menonton perlawanan bola sepak dengan rakannya... nak tengok final FA Cup, MU (Manchester United) lawan MC (Manchester City).
"Dia keluar naik motosikal, tetapi macam saya katakan kawannya itu tidak ada di rumah sebab ikut rombongan sekolah ke Pesta Buku 2024, di Kuala Lumpur, jadi saya pun tak tahu dia tengok bola dengan siapa," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Khamis.
Untuk rekod, pelajar Sekolah Menengah Agama (SMA), Parit Raja yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun ini dilaporkan hilang setelah keluar untuk menonton perlawanan bola sepak bersama seorang rakannya Jumaat lalu.
Tambah Abdul Halid, dia juga ada bertanyakan perkara tersebut kepada rakan-rakan anaknya yang lain namun tiada sebarang maklumat terkini diperolehi.
Abdul Halid juga berkata, dia tidak mengetahui sama ada anaknya itu ada bermusuh dengan sesiapa.
Katanya, anaknya itu merupakan seorang yang cerita dan aktif serta mempunyai ramai kawan.
"Benda (musuh) ni saya tak tahu, lagi pun dah dua minggu dia tak balik rumah dari asrama sampailah saya datang menjemputnya pada Ahad.
"Setelah makan bersama, dia minta nak keluar tengok bola dekat kawasan rumah di Bandar Putera Indah, tapi sampai sekarang dia belum juga balik," katanya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!