BDB catat pretasi kewangan terbaik

Raja Shahreen (tengah) selepas menghadiri Mesyuarat Agung Tahunan BDB di sebuah hotel, di sini, pada Khamis.
Raja Shahreen (tengah) selepas menghadiri Mesyuarat Agung Tahunan BDB di sebuah hotel, di sini, pada Khamis.
A
A
A

BINA Darulaman Berhad (BDB) merekodkan prestasi kewangan terbaik dengan pendapatan sebanyak RM313.1 juta bagi tahun kewangan 2023 yang tertinggi sejak tahun 2016.

Pengarah Eksekutif Kumpulan BDB, Raja Shahreen Raja Othman berkata, pencapaian itu turut menyaksikan BDB mencatatkan pendapatan melebihi RM300 juta buat kali pertama dalam tempoh tujuh tahun.

Beliau berkata, pretasi kewangan dipamerkan BDB menunjukkan pertumbuhan kukuh sebanyak 35.3 peratus berbanding RM231.4 juta dicatatkan pada tahun kewangan 2022.

"Segmen kejuruteraan, pembinaan dan kuari merupakan penyumbang utama kepada peningkatan itu selepas mendapat manfaat penuh daripada pemulihan pandemik Covid-19.

“Anak syarikat milik penuh, BDB Infra Sdn Bhd telah memperoleh kontrak penyelenggaraan jalan negeri bernilai RM204 juta daripada kerajaan Kedah serta kontrak RM34.1 juta daripada Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan untuk sistem pengairan tertier di negeri ini,” katanya kepada pemberita pada sidang media di sebuah hotel, di sini, pada Khamis.

Sebelum itu, beliau telah menghadiri Mesyuarat Agung Tahunan BDB ke-29 yang turut dihadiri Pengerusi BDB Che Had Dhali, Ahli-Ahli Lembaga Pengarah BDB dan Pengurusan Kanan Kumpulan BDB.

Menurut Raja Shahreen, segmen hartanah turut menyaksikan pelancaran lima projek pembangunan di Bandar Darulaman, Jitra; Darulaman Saujana, Hosba; Aman Nusa dan Darulaman Sanctuary di Langkawi.

Kata beliau lagi, dalam tempoh itu, keuntungan sebelum cukai (PBT) meningkat sebanyak 61.1 peratus RM14.5 juta yang dipacu pendapatan yang lebih tinggi daripada operasi di Kuari Bukit Perak, Pendang dan Kuari Gemi Puncak, Langkawi serta sumbangan daripada projek usahasama di Kubang Pasu dan Sungai Petani.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, keuntungan selepas cukai (PAT) meningkat sebanyak 121.4 peratus kepada RM12.4 juta walaupun margin untung kasar menunjukkan jumlah yang lebih rendah iaitu 17.1 peratus berbanding 20.8 peratus pada tahun sebelumnya.

Dalam perkembangan sama, Raja Shahreen berkata, BDB kekal berhati-hati dan optimis di tengah ketidakpastian pasaran, menekankan kepada kelestarian bagi perancangan syarikat bagi 2024 dan tahun seterusnya.

Tambah beliau, selain itu, syarikat turut merancang memberi lebih tumpuan kepada penekanan kepada peningkatan ketahanan rantaian bekalan, kemahiran tenaga kerja dan pelaburan dalam penghasilan tenaga.

Kata beliau, antara perancangan BDB termasuklah membangunkan kediaman bertingkat di Kedah.

Bagaimanapun,Raja Shahreen berpandangan, pihaknya perlu melihat kepada permintaan dahulu.

"Jikalau buat banyak-banyak tetapi tiada pembeli, kita yang rugi nanti jadi kita akan buat kajian terlebih dahulu,” katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!