Subsidi diesel bersasar demi keadilan, ketelusan ekonomi
SHAH ALAM - Pelaksanaan rasionalisasi subsidi diesel di Semenanjung dibuat bagi memastikan penjimatan dan bantuan sampai kepada golongan sasar, sekali gus memupuk persekitaran ekonomi yang seimbang serta adil.
Setiausaha Politik Pejabat Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Manivanan Gowin berkata, kerajaan juga berupaya meringankan beban kewangan ke atas segmen masyarakat yang paling terdedah kepada peningkatan kos sara hidup melalui penyasaran subsidi kepada kumpulan tertentu ini.
Bagaimanapun katanya, semua pihak perlu menerima hakikat bahawa usaha untuk merealisasikan sepenuhnya manfaat reformasi ini bukan mudah dan penuh cabaran.
"Pendekatan yang diambil kerajaan bertujuan untuk memberikan manfaat secara langsung kepada mereka yang memerlukan tanpa mengganggu sektor logistik atau ekonomi secara amnya.
"Kita menyedari bahawa antara kebimbangan utama rakyat Malaysia ialah potensi kesan reformasi subsidi ini terhadap harga barangan. Kebimbangan ini ada asasnya, memandangkan sebarang perubahan dalam harga bahan api boleh memberikan kesan terhadap rantaian bekalan, menjejaskan kos pengangkutan dan seterusnya meningkatkan harga barangan.
"Walau bagaimanapun, kerajaan telah memberi jaminan kepada orang ramai bahawa pendekatan ini tidak akan menyebabkan kenaikan harga menerusi pelbagai usaha antaranya menyediakan peruntukan subsidi bersasar kepada kumpulan tertentu dan membuat pemantauan yang melibatkan pengumpulan data dan analisis untuk melihat trend perubahan harga secara berterusan," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melalui Perutusan Negara baru-baru ini memaklumkan Kabinet bersetuju untuk melaksanakan penyasaran subsidi diesel membabitkan pengguna di Semenanjung yang dianggar membawa penjimatan sebanyak RM4 bilion setiap tahun kepada kerajaan.
Bagi membendung kenaikan drastik harga barangan dan perkhidmatan di Semenanjung, Anwar berkata, kerajaan akan menyediakan subsidi diesel kepada peniaga yang menggunakan kenderaan komersial bermotor diesel.
Sementara itu, Manivanan yang juga Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR turut mencadangkan supaya kerajaan mengadakan sesi dialog secara berterusan untuk menjelaskan manfaat subsidi bersasar ini dan menangani sebarang kebimbangan.
Ujarnya, langkah ini penting bagi membina kepercayaan dan mendapat sokongan rakyat dengan adanya ketelusan melalui pelaksanaan skim tersebut.
"Sebagai kesimpulan, komitmen Kerajaan terhadap reformasi subsidi diesel bersasar ini adalah tanda positif dedikasi pemimpin negara terhadap pengurusan fiskal yang berhemah dan usaha mereka memperjuangkan keadilan sosial.
"Dengan menangani kelemahan dan ketirisan dalam sistem yang sedang dilaksanakan, Malaysia akan memperoleh bukan sahaja penjimatan kewangan yang besar tetapi juga landskap ekonomi yang lebih seimbang dan adil," katanya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!