Tan Jie-Ee Wei tempah slot suku akhir di Singapura
BEREGU campuran utama negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei meneruskan momentum positif apabila mara ke saingan suku akhir Kejohanan Badminton Terbuka Singapura sebentar tadi.
Kejayaan tersebut diraih setelah pasangan berstatus nombor sembilan dunia itu membenam cabaran gandingan utama Denmark, Mathias Christiansen-Alexandra Boje secara straight set dalam saingan pusingan kedua.
Tang Jie-Ee Wei mendominasi aksi set pertama untuk menang 21-17, namun mereka diberi tentang sengit dalam permainan berikutnya pada kejohanan berstatus 750 itu.
Kedua-dua pasangan bersaing hebat sehingga terikat pada kedudukan 18-18, Tang Jie-Ee Wei bagaimanapun tenang mengatur permainan untuk mengesahkan kemenangan 21-18 dalam tempoh 40 minit permainan.
Menanti mereka dalam pertarungan suku akhir pada Jumaat ialah pasangan dari Korea Selatan, Seo Seung Jae-Chae Yu Jung yang menundukkan wakil Jepun, Yuki Kaneko-Misaki Matsutomo 21-19, 18-21, 21-16.
Dalam pada itu, skrip berbeza buat pasangan suami isteri, Goh Soon Huat-Shevon Lai apabila terpaksa menarik diri pada set ketiga permainan akibat kecederaan.
Juara Malaysia Masters itu menang pada set pertama 22-20 sebelum kalah 11-21 dalam permainan berikutan.
Ketika ketinggalan 1-11 pada set ketiga pergerakan Soon Huat dilihat terbatas dan kemudian membuat keputusan untuk menarik diri.
"Ketika permainan set ketiga Soon Huat mengalami kecederaan lutut. Susah buat kami untuk meneruskan permainan dan buat keputusan untuk tarik diri," ujar Shevon.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!