Tukang masak warga India didakwa kes seksual budak dua tahun
AMPANG - Seorang tukang masak dari negara India, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis, atas satu pertuduhan menggesel kemaluan pada seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun, di sebuah medan selera minggu lalu.
K Senthilnathan, 34, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibaca di hadapan Hakim, Norshila Kamaruddin.
Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa melakukan amang seksual fizikal terbabit di sebuah medan selera di Pandan Indah, di sini, pada jam 5 petang, 20 Mei lalu.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Kanak-Kanak 2017 yang boleh dihukum bawah Seksyen 14 akta sama membawa hukuman penjara hingga 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.
Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Norhashimah Hashim mencadangkan tertuduh diberi ikat jamin sebanyak RM15,000 termasuk syarat tambahan penyerahan pasport kepada mahkamah, melaporkan diri di balai polis, tidak mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan.
“Ibu mangsa merupakan peniaga berdekatan gerai tempat tertuduh bekerja, jadi mereka mengenali antara satu sama lain,” katanya.
Bagaimanapun, peguam, S Selvaakumaran yang mewakili lelaki itu, merayu anak guamnya diberi ikat jamin pada kadar minimum.
“Dia perlu menanggung anaknya yang berusia dua tahun malah mempunyai masalah kesihatan, termasuk ibu bapa yang uzur di India,” katanya.
Selepas mendengar permohonan daripada kedua-dua pihak, Norshila membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM12,000 dengan dua penjamin, berserta syarat tambahan yang dicadangkan pihak pendakwaan.
Mahkamah menetapkan sebutan semula kes pada 4 September depan.
Ahad lalu, Sinar Harian melaporkan, seorang pelayan kedai makan warga asing ditahan kerana disyaki melakukan amang seksual terhadap kanak-kanak perempuan berusia dua tahun di Pandan Indah, di sini.
Menurut pihak polis, seorang wanita mendakwa ketika anaknya sedang bermain, seorang lelaki telah membuat sesuatu kepada kanak-kanak terbabit.
Katanya, hasil pemeriksaan mengesahkan terdapat kemerahan pada bahagian luar kemaluan mangsa.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!