[VIDEO] PM umum pemberian baucar buku RM100
KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan pemberian baucar buku bernilai RM100 kepada murid sekolah rendah bermula Tahun 4, pelajar sekolah menegah dan institusi pendidikan tinggi (IPT).
Beliau berkata, baucar tersebut boleh digunakan pada Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2024 bermula jam 2 petang, Jumaat.
Bagaimanapun Perdana Menteri menjelaskan, baucar tersebut tidak dapat diberi kepada semua pelajar sekolah rendah seperti sebelum ini memandangkan kekangan kewangan yang dihadapi kerajaan.
"Kerajaan boleh teruskan dengan (pemberian) baucar RM100 itu dan untuk tahun ini, kita mulakan dari (murid) Tahun 4 dan keatas bagi mengurangkan tekanan kepada kewangan kerajaan.
"Kita akan beri panduan (jenis) buku termasuk novel klasik (seperti) hikayat Hang Tuah, novel oleh sasterawan terkemuka dan sebagainya.
"Ini bagi memastikan sebahagian wang itu digunakan untuk membeli buku-buku yang diusulkan dan sebahagianya kita beri kelonggaran untuk anak-anak memilih sendiri," katanya ketika berucap merasmikan PBAKL 2024 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) pada Khamis.
Turut hadir Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek; Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir; Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh dan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.
Dalam pada itu, Anwar menjelaskan, kerajaan menggunakan kaedah tersebut ekoran mendapati baucar itu sebelum ini digunakan untuk membeli buku-buku picisan yang tidak bernilai.
Justeru ujarnya, menjadi tanggungjawab kerajaan untuk membimbing dan membantu golongan ibu bapa serta guru dalam mendedahkan anak-anak menilai antara bahan maklumat dan ilmu agar tercapai hikmah kebijaksanaan.
"Anak-anak mesti baca, hidupkan budaya membaca, mencintai ilmu dan saya mahu Malaysia Madani memperkasa ekonomi serta budaya, mengangkat martabat sebagai manusia yang berakhlak dan menguasai ilmu," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!