Malaysia berada di kedudukan strategik ledakan AI

Gobind Singh Deo. Foto Bernama
Gobind Singh Deo. Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Malaysia berada pada kedudukan strategik untuk memanfaatkan ledakan kecerdasan buatan (AI) dan muncul sebagai hab pusat data utama di ASEAN, kata Menteri Digital, Gobind Singh Deo.

Gobind dalam satu kenyataan hari ini berkata, ledakan AI telah memulakan perlumbaan global untuk pengkomputeran, mempercepat permintaan terhadap tanah, tenaga dan sumber air untuk memperkasa pusat data AI generasi akan datang.

Beliau berkata, Malaysia boleh memanfaatkan trend ini kerana negara memiliki sumber yang banyak ditambah dengan lokasi geografi yang selamat untuk pelabur yang mencari kepelbagaian.

Selain itu, Malaysia juga mempunyai gabungan dasar yang sesuai, ditambah dengan pelaksanaannya yang kukuh, untuk muncul sebagai peneraju global dalam bidang infrastruktur digital.

Oleh itu, katanya, dari segi kesalinghubungan, Malaysia mempunyai rangkaian 5G yang cemerlang diterajui oleh Digital Nasional Bhd (DNB), agensi di bawah Kementerian Digital.

"Liputan 5G Malaysia telah mencapai lebih 80 peratus kawasan berpenduduk dan merekodkan 11.9 juta langganan perkhidmatan 5G, merupakan kadar penerimagunaan 35.4 peratus, dalam masa kurang tiga tahun sejak rangkaian itu dimulakan," katanya.

Gobind berkata demikian pada acara Leaders TalkX: Digital Advancing Sustainable Development: A Trusted Connected World bersempena dengan Sidang Kemuncak Dunia mengenai Masyarakat Bermaklumat (WSIS)+ 20 Forum Peringkat Tinggi di Geneva, Switzerland pada 28 Mei.

Mengenai bidang kawal selia, beliau berkata, Malaysia terlibat secara aktif dalam membentuk kerjasama ekonomi digital di peringkat ASEAN dalam Perjanjian Rangka Kerja Ekonomi Digital (DEFA) yang dinanti-nantikan.

Artikel Berkaitan:

DEFA diunjur memanfaat nilai berjumlah sehingga AS$2 trilion (AS$1=RM4.70) bagi ekonomi digital ASEAN menjelang 2030 melalui peraturan perdagangan yang diselaraskan, standard saling kendalian dan kerjasama yang dipertingkatkan dengan negara anggota.

Selain daripada Rang Undang-undang Keselamatan Siber 2024 baharu yang dibentangkan Mac lalu, Gobind berkata, Jabatan Perlindungan Data Peribadi sedang dalam peringkat akhir merangka rang undang-undang untuk meminda Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 [Akta 709].

Pada masa yang sama, katanya, rang undang-undang perkongsian data nasional sedang digubal oleh Jabatan Digital Negara (JDN), sebuah lagi agensi di bawah Kementerian Digital.

"Secara kolektif, usaha ini merupakan komponen penting dalam matlamat menyeluruh kementerian untuk memupuk persekitaran kawal selia holistik yang memenuhi keperluan rakyat, perniagaan dan pelabur dalam bidang digital,” katanya.

Untuk merealisasikan sepenuhnya potensi ekonomi digital, beliau berkata, Kementerian Digital percaya bahawa pelaburan dalam infrastruktur digital dan rangka kerja kawal selia yang padu mesti dipadankan dengan bekalan tenaga kerja celik digital dan sentiasa bersiap siaga.

Kementerian Digital menyedari keseimbangan yang diperlukan untuk memanfaatkan teknologi baru muncul di samping mengurangkan potensi risiko.

"Melalui dasar bersasar dan pendekatan kawal selia yang menumpukan kepada infrastruktur digital, kawal selia dan pembangunan tenaga kerja, kementerian ini komited untuk meletakkan asas yang kukuh bagi memacu Malaysia sebagai peneraju digital di Asean dan melangkaui darinya,” kata Gobind. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!