Warga Bangladesh simpan rokok seludup dalam banglo

Muhammad Ilyas (dua kanan) menunjukkan barang rampasan.
Muhammad Ilyas (dua kanan) menunjukkan barang rampasan.
A
A
A

SEREMBAN - Warga Bangladesh sanggup menyewa banglo tiga tingkat dengan harga ribuan ringgit sejak setahun lalu semata-mata mahu menyimpan rokok seludup bagi mengaburi mata pihak berkuasa.

Pengarah Kastam Negeri Sembilan, Muhammad Ilyas Queek Abdullah berkata, bagaimanapun tindakan mereka itu sia-sia selepas berjaya dihidu pihaknya dalam serbuan di rumah kongsi warga asing di Shah Alam, Selangor, awal Mei lalu.

"Serbuan itu berjaya merampas rokok dan bir dianggarkan lebih RM600,000. Hasil pemeriksaan rapi, pasukan serbuan menjumpai sejumlah 14,500 peket bersamaan 288,800 batang rokok pelbagai jenama dan 216 tin atau 99.36 liter bir pelbagai jenama dan saiz.

"Kesemua rokok dan bir yang dijumpai adalah barang larangan import di bawah Butiran 1, Bahagian II Jadual Ketiga Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2023," katanya pada sidang media, di sini pada Khamis.

Katanya, kesemua barang eksibit dan kereta yang disita dibawa balik ke pejabat Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Negeri Sembilan bersama seorang suspek warga Bangladesh berusia 40-an, untuk siasatan lanjut.

"Susulan penahanan suspek, satu pemeriksaan telah dilakukan di sebuah banglo di Setia Alam, Shah Alam, kira-kira jam 10 malam, hari yang sama.

JKDM Negeri Sembilan merampas bir dan rokok seludup.
JKDM Negeri Sembilan merampas bir dan rokok seludup.

"Hasil pemeriksaan ke atas banglo itu, kami menjumpai 485,000 batang rokok putih pelbagai jenama. Kesemua rokok yang dijumpai adalah disyaki barangan larangan import dan dibawa balik ke pejabat untuk siasatan lanjut," katanya.

Artikel Berkaitan:

Jelas beliau, jumlah keseluruhan nilai sitaan rokok, bir dan kereta di kedua-dua lokasi termasuk cukai adalah dianggarkan sebanyak RM623,137.20.

"Modus operandi sindiket adalah menyeludup sebelum menyimpan rokok di kawasan penempatan pekerja warga asing dan banglo yang dikawal warga asing sebelum diedarkan serta dijual dengan harga yang murah di pasaran tempatan.

"Rokok ini biasanya dijual 20 hingga 30 peratus lebih murah berbanding harga pasaran dan sasaran mereka adalah pembeli warga asing. Kami masih memburu anggota sindiket ini yang didalangi warga Bangladesh.

"Kes ini disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 dan Seksyen 74(1)(a) Akta Eksais 1976," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!