Wanita ditemui mati dalam keadaan terduduk depan pintu bilik
SANDAKAN - Seorang wanita ditemukan meninggal dunia dalam keadaan terduduk di depan pintu bilik rumahnya dalam kejadian di Taman Sri Rimba Batu 7 di sini pada Khamis.
Wanita berusia 55 tahun itu hanya disedari telah meninggal dunia apabila jirannya terhidu bau yang kurang menyenangkan dari arah rumahnya pada jam 11.53 pagi sebelum bertindak melaporkan perkara itu kepada pihak polis.
Ketua Polis Daerah Sandakan, Asisten Komisioner Abdul Fuad Abdul Malek berkata, hasil pemeriksaan mendapati wanita tersebut adalah warga tempatan.
"Laporan diterima daripada jiran wanita tersebut melalui panggilan telefon dan sepasukan anggota polis dikejar ke lokasi kejadian.
"Hasil siasatan menemui mayat wanita tersebut dalam keadaan terduduk di depan pintu bilik rumahnya," katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Katanya lagi, siasatan mendapati tidak menemui sebarang unsur jenayah atau khianat.
"Mayat dihantar ke Unit Forensik Hospital Duchess of Kent untuk dibedah siasat.
"Kes disiasat dan diklasifikasikan sebagai laporan mati mengejut," katanya.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sandakan, Severinus Sainkui memaklumkan pihaknya menerima panggilan untuk bantuan membuka pintu rumah yang terkunci.
"Seramai enam anggota BBP Sandakan dikejarkan ke lokasi dan operasi membuka pintu rumah dilakukan menggunakan peralatan khas.
"Hasil pemeriksaan menemui seorang wanita dan disahkan telah meninggal dunia di lokasi kejadian," katanya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!