Kursus integriti secara berkala kurangkan gejala rasuah

Gambar hiasan. Gambar kecil: Nor Halmey
Gambar hiasan. Gambar kecil: Nor Halmey
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Pelaksanaan kursus integriti secara berkala dilihat sebagai salah satu alternatif bagi mengurangkan isu rasuah yang melingkari penjawat awam kerana ia mampu meningkatkan jati diri untuk menangkis diri daripada melakukan jenayah tersebut.

Pengerusi Rasuah Busters Perlis, Nor Halmey Hamdah berkata, kaedah tersebut juga menjadi satu peringatan berterusan tentang kesan buruk rasuah baik kepada individu mahupun negara.

"Godaan rasuah wujud tidak mengira masa, tempat dan siapa. Sekali terjerumus buruk padahnya, ini yang mereka perlu sentiasa ingat," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Pada Rabu, Sinar Harian melaporkan seramai empat pembantu penguasa Kastam didakwa di Mahkamah Sesyen di Shah Alam atas tuduhan rasuah mencecah RM39,800 berhubung kes melepaskan lori barangan tanpa pemeriksaan dari kargo Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang, bermula tujuh tahun lalu.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa menerima rasuah mengikut jumlah itu, daripada seorang pemilik syarikat berusia 38 tahun sebagai dorongan tidak memeriksa lori-lori milik syarikat itu yang membawa barangan dari kargo KLIA.

Tambah Nor Halmey, jabatan atau organisasi kerajaan juga perlu mengikut prosedur operasi standard (SOP) dan membuat penilaian integriti dalam prosedur pengambilan pekerja tanpa menggunakan ‘orang dalam’.

"Wibawa sebagai penjawat awam yang tidak berintegriti berkemungkinan juga daripada awal ketika memasuki sektor secara talian atau pertolongan seseorang. Mereka ini tiada rasa tanggungjawab kerana mendapat pekerjaan secara mudah dan sambil lewa.

"Penjawat awam patut sentiasa mematuhi disiplin pekerjaan yang sudah digariskan. Jangan sesekali termakan pujuk rayu dan kata simpati pemberi atau peminta rasuah," katanya.

Artikel Berkaitan:

Jelasnya, kesedaran dan pendidikan terhadap masyarakat juga turut perlu ditingkatkan bagi menggalakkan pelaporan jenayah rasuah dalam semua bentuk bagi mengekang jenayah itu secara holistik.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!