Malaysia kekal kedudukan teratas dalam Indeks Pelancongan Muslim Global 2024

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

SHAH ALAM - Malaysia mengekalkan kedudukan teratas buat kali kesembilan sebagai destinasi percutian mesra Muslim terbaik untuk pelancong Muslim dalam laporan Indeks Pelancongan Muslim Global (GMTI) 2024 yang dikeluarkan hari ini.

Pengiktirafan berprestij itu bertepatan dengan Malaysia apabila turut diumumkan sebagai ‘Destinasi Mesra-Muslim Terbaik’ Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) untuk tahun kedua berturut-turut oleh CrescentRating dan Mastercard pada Halal in Travel Awards yang diadakan di Singapura.

Ketua Pengarah Pusat Pelancongan Islam (ITC), Nizran Noordin berkata, populariti Malaysia dalam kalangan pengembara Muslim berpunca daripada kebolehcapaian mereka kepada makanan Halal, pelbagai kemudahan dan perkhidmatan berkaitan agama.

Katanya, Malaysia juga mempunyai pantai indah, kepelbagaian budaya dan pengalaman membeli-belah yang luar biasa.

"Di samping itu, ia menawarkan pelbagai pakej pelancongan mesra muslim yang mana membolehkan pelancong merasai kekayaan sejarah negara, seni bina masjid, warisan, gastronomi, alam semula jadi serta seni dan budaya.

"Sebagai negara majoriti Islam, Malaysia memanfaatkan infrastruktur sedia ada. Melalui ITC sebuah agensi di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Malaysia sentiasa berusaha untuk memberi pengalaman yang indah kepada pengembara Islam dalam menunaikan kewajipan agama mereka ketika melancong," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Tambah Nizran, pasaran Muslim global memberikan peluang yang luas dengan populasi melebihi 1.9 bilion individu.

"Pada pra pandemik dilaporkan oleh Mastercard dan CrescentRating pertumbuhan ketara dalam pasaran pelancongan Muslim dengan bilangan pengembara meningkat daripada 108 juta pada 2013 kepada 160 juta pada 2019.

Artikel Berkaitan:

"Selepas sempadan dibuka semula di seluruh dunia, laporan GMTI terbaharu menjangkakan sebanyak 230 juta pelancong Islam menjelang 2028,"ujarnya.

Menurut beliau, kerajaan dan pihak berkepentingan industri kekal komited untuk menarik pelancong muslim dan mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai destinasi pelancongan pilihan mereka.

"Oleh sebab itu, ITC menyediakan pelbagai latihan, pembinaan kapasiti, penyelidikan, pembangunan piawaian dan pensijilan.

"Ini memastikan pemain industri memahami keperluan pelancong Muslim dan bersedia untuk memberikan nilai kepada segmen ini," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!