Dulu buruh kasar, kini pekerja kolar putih
Dalam laporan muka depan yang disiarkan akhbar ini semalam, terdapat kebimbangan pekerja-pekerja asing yang akan mengisi pekerjaan dalam bidang teknologi tinggi di negara ini.
Ini kerana Malaysia kini muncul sebagai destinasi industri semikonduktor global dan menjadi destinasi syarikat-syarikat seperti Intel, Micron dan Infineon.
Malah Intel dan Infineon sudahpun mengesahkan pelaburan AS$7 bilion dan AS$5 bilion untuk mengembangkan sayap mereka di Malaysia, manakala Micron membuka pusat pemasangan dan ujian cip mereka di Batu Kawan pada penghujung 2023.
Sehubungan dengan itu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar mengumumkan Strategi Semikonduktor Kebangsaan, dimana kerajaan melaburkan sebanyak AS$5.3 bilion (RM25 bilion) untuk melatih seramai 60,000 jurutera semikonduktor dalam jangka masa lima ke 10 tahun untuk meningkatkan jumlah pakar.
Bagaimanapun, yang menjadi kebimbangan ialah kurang minat pelajar dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).
Pada awal Mei lalu, Kementerian Pendidikan Tinggi menyuarakan kebimbangan mengenai kemungkinan berlaku ketidakcukupan graduan untuk memenuhi keperluan tenaga kerja dalam sektor berteknologi tinggi di negara ini..
Penurunan itu ditunjukkan menerusi bilangan pelajar Tingkatan Empat mengambil aliran sains yang semakin rendah berbanding aliran sastera atau bukan sains.
Berdasarkan data pada tahun lalu menunjukkan hanya 22.8 peratus pelajar Tingkatan Empat seluruh negara mengambil aliran sains di sekolah menengah dengan Sabah mencatat peratusan paling rendah dalam kalangan semua negeri.
Statistik permohonan UPUOnline 2023, hanya 89,625 atau 36.69 peratus daripada 237,805 pemohon yang layak diberi penempatan di IPT adalah permohonan untuk mengikuti program STEM atau sains.
Justeru itu, tumpuan terhadap STEM penting bagi memastikan negara tidak ketandusan bakat atau tenaga kerja mahir dalam bidang berteknologi tinggi bagi memenuhi keperluan industri.
Jangan sampai peluang itu nanti direbut oleh pekerja-pekerja asing. Jika dahulu mereka datang ke negara ini sebagai buruh kasar tetapi tidak mustahil mereka bakal jadi pekerja kolar biru yang berpendapatan tinggi.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!