'Demonstrasi bukan cara solidariti'

Pelajar membina khemah protes untuk menyokong rakyat Palestin di Taman Alumni Universiti Southern California di tengah-tengah konflik berterusan antara Israel dan kumpulan Islam Palestin Hamas di Los Angeles, California - Foto: Reuters, gambar kecil dari kiri: Muhammad Dzul Aiman, Imran, Mohamed Yusof Hassan
Pelajar membina khemah protes untuk menyokong rakyat Palestin di Taman Alumni Universiti Southern California di tengah-tengah konflik berterusan antara Israel dan kumpulan Islam Palestin Hamas di Los Angeles, California - Foto: Reuters, gambar kecil dari kiri: Muhammad Dzul Aiman, Imran, Mohamed Yusof Hassan
A
A
A

SHAH ALAM - Demonstrasi jalanan bukan satu-satunya kaedah untuk bersolidariti berhubung kekejaman Israel terhadap rakyat Palestin walaupun perkara itu dilakukan oleh sebahagian besar mahasiswa di negara Barat bagi menarik perhatian pemimpin mereka.

Presiden Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM), Muhammad Dzul Aiman Zulkefly berkata, mahasiswa di Malaysia dilihat tidak agresif kerana mereka menggunakan platform media sosial bagi menarik perhatian lebih ramai penduduk dunia.

Menurutnya, hasil daripada beberapa siri kempen di media sosial menyebabkan tiga negara Eropah seperti Norway, Ireland dan Sepanyol kini turut menyatakan sokongan terhadap saudara di Palestin.

“Keadaan ini berbeza dengan negara kita kerana pendirian Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang begitu jelas terutama polemik Palestin sudah mewakili seluruh rakyat terutamanya mahasiswa.

“Kita perlu lebih konsisten dan hasil daripada kempen di media sosial seperti #IsraelCuak serta #IsraelKoyak telah tular ke seluruh dunia sehingga memberi kesan terhadap penyokongnya.

“Sebenarnya banyak bukti gerakan dan solidariti kita kepada Palestin yang berlaku di sosial media sebenarnya dimulakan oleh aktivis Mahasiswa serta kami juga telah melancarkan tagline #IsraelBacul bagi menyemarakkan lagi tekanan terhadap rejim Zionis,” katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Sebelum ini, bekas Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad mendakwa penuntut universiti di negara Islam tidak banyak memberikan reaksi berhubung kekejaman Israel terhadap Palestin.

Beliau turut mempersoalkan mengapa penuntut universiti di negara ini tidak menyuarakan bantahan terhadap rejim Zionis itu.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, menurut Timbalan Presiden Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK), Mohamed Yusof Hassan Roslan, mahasiswa Malaysia masih aktif berkempen malah gelombang boikot sejak Oktober tahun lalu turut mendapat sokongan pelajar daripada semua institusi pengajian tinggi di negara ini.

Tambah beliau, pihak universiti tidak pernah menyekat kebebasan menyuarakan isu Palestin sebaliknya turut menyokong mereka dalam semua kempen yang dilaksanakan dalam kampus termasuk di platform media sosial.

“Kami tidak pernah diam dalam menyuarakan isu ini. Sejak Oktober lalu kita giat berkempen di Instagram dan Twitter bagi menyebarkan semua informasi terkini mengenai serangan rejim Zionis terhadap Palestin,” ujarnya.

Sementara itu, Presiden Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (Gamis), Imran Sulaiman berkata, terdapat gerakan protes secara aman bersama beberapa universiti awam, namun berkemungkinan ia tidak mendapat liputan media secara menyeluruh.

“Meskipun gerakan protes dalam kalangan mahasiswa di jalanan tidak terlalu agresif, namun mereka masih aktif bersuara di luar kampus mengenai kekejaman tentera Israel kepada rakyat Palestin menerusi media sosial masing-masing.

“Kami pernah adakan himpunan aman di Bangunan See Hoy Chan, Kuala Lumpur bersama mahasiswa dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan Universiti Islam Selangor (UIS). Cuma mungkin tidak sampai ke pengetahuan media tempatan,” katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!