Masih ada sinar buat golongan tercicir

Laporan Sinar Harian
Laporan Sinar Harian
A
A
A

SEJAK tiga tahun kebelakangan ini, calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang tidak menduduki peperiksaan mencatatkan jumlah melebihi 10,000 orang setiap tahun.

Angka ini tidak banyak berubah, namun di sebaliknya ada kebimbangan yang perlu diberikan perhatian, iaitu ramainya generasi muda memandang ringan akan kepentingan memiliki sekurang-kurangnya kelulusan SPM demi kelangsungan masa depan.

Berdasarkan laporan, calon SPM2022 yang tidak hadir ialah seramai 14,858 orang atau 3.8 peratus daripada 388,832 calon manakala bagi SPM 2021, jumlahnya seramai 10,681 atau 2.7 peratus daripada keseluruhan 392,837 calon berdaftar.

Jumlahnya bagi SPM2023 sedikit menurun iaitu 10,160 daripada 383,685 calon, namun angkanya masih melepasi 10,000.

Angka itu agak merisaukan dan persoalan utama yang harus dijawab ialah, kenapa pelajar ini tidak menghadiri peperiksaan besar yang menjadi penanda aras sebelum mereka memasuki alam pekerjaan.

Mengulas isu berkenaan, Timbalan Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPNS), Nurani Fauziah Derin berkata, antara faktor pelajar negeri itu tidak menduduki SPM ialah ada yang sudah bekerja dan berkahwin.

Jelas beliau, jumlah itu berkurangan iaitu hanya 984 calon bagi SPM 2023 berbanding tahun lalu iaitu seramai 1,564 orang.

Namun, beliau turut meluahkan rasa bimbang dengan situasi tersebut kerana ia akan memberi kesan kepada pelajar itu sendiri untuk meneruskan kelangsungan hidup pada masa hadapan.

Artikel Berkaitan:

Perkara itu juga mendapat perhatian Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek yang menyatakan pihaknya akan mengenal pasti calon yang tercicir atau tidak hadir sewaktu peperiksaan berkenaan untuk memberi peluang kepada mereka mendaftar bagi peperiksaan ulangan.

Beliau turut menjelaskan bahawa jumlah calon tidak menduduki peperiksaan sebenarnya berjaya dikurangkan sebanyak 1.2 peratus berbanding 2022.

Pencapaian itu katanya, adalah hasil intervensi yang dilaksanakan di setiap peringkat melibatkan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) serta pihak sekolah.

Ditanya tentang situasi tersebut, Tokoh Pendidikan Negara, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom pula menyifatkan antara faktor segelintir pelajar tidak menghadiri peperiksaan penting itu meskipun telah mendaftar ialah kurang memahami kepentingan memiliki sijil SPM.

Selain itu, beliau melihat pengaruh rakan sebaya dan masalah peribadi yang dihadapi hingga memaksa mereka memilih jalan tersebut.

Persoalannya, adakah mereka tidak tahu atau buat-buat tidak tahu bahawa SPM adalah ‘pasport’ untuk mereka lebih maju ke hadapan?

Namun, kita tak boleh menafikan mungkin sebahagian daripada calon SPM 2023 yang tidak hadir ini terpaksa berbuat demikian atas faktor-faktor tertentu.

Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki telah memberi jaminan bahawa 10,160 pelajar yang tidak hadir SPM 2023 boleh menyambung pengajian di GiatMARA di mana-mana 232 cawangan seluruh Malaysia.

TVET MARA boleh membantu melatih mereka kemahiran sehingga ke peringkat tertinggi.

Menurutnya, GiatMARA juga telah mengenal pasti bidang-bidang baharu yang diperlukan di pasaran termasuk bidang-bidang berteknologi tinggi seperti Kecerdasan Buatan (AI), IOT, Robotik, Kenderaan Elektrik (EV), Kenderaan Tenaga Boleh Diperbaharui (REV) dan banyak lagi.

Ini semua dilakukan dengan kerjasama rapat dengan pemain-pemain industri agar tenaga mahir yang dilatih di GiatMARA terjamin peluang pekerjaan.

Pusat itu juga sedang membuat kajian secara holistik semua programnya agar berdaya maju dan mampu menyediakan tenaga mahir mengikut piawaian pasaran dan industri di peringkat antarabangsa.

Ia selaras dengan saranan Pengerusi Majlis TVET Negara, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk memastikan TVET menjanjikan gaji premium kepada anak-anak muda dan menjadi pilihan utama kerjaya masa depan.

* Farah Shazwani Ali ialah Wartawan Sinar Harian

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!