Bijak catur strategi - Nor Saiful
SKUAD hoki kebangsaan perlu memperagakan aksi luar biasa dan mencatur secara bijak strategi permainan bagi memerangkap Pakistan dalam aksi pertama Kumpulan B Piala Negara-Negara di Poland pada Jumaat.
Legenda hoki negara, Nor Saiful Zaini memahami pasukan bimbingan Sarjit Singh itu dibarisi pemain muda, namun mereka perlu menjadikan kejohanan tersebut sebagai pentas terbaik untuk mempamerkan karakter sebenar sebagai pemain profesional.
"Ini skuad baharu, ramai pemain muda dan dalam proses pembangunan. Jadi saya tidak tahu apa strategi dan perancangan jurulatih.
"Apa pun peluang ini perlu digunakan sebaik mungkin oleh pemain muda untuk beri yang terbaik bagi meningkatkan prestasi mereka dan buat pasukan," katanya kepada Sukan Sinar pada Khamis.
Selepas menentang Pakistan, skuad Speedy Tigers dijadual berdepan Perancis pada 2 Jun disusuli perhitungan dengan Kanada tiga hari kemudian.
Nor Saiful menjelaskan Pakistan merupakan sebuah pasukan yang kuat dan menjangkakan satu perlawanan sukar buat skuad kebangsaan.
"Para pemain mereka mempunyai kemahiran individu yang tinggi, serangan balas pantas berkualiti dan 'flickers' yang bagus.
"Kena 'marking' betul-betul pemain lawan. Cara 'marking' perlu bijak dan ikut strategi jurulatih. Jangan biarkan mereka bebas di kawasan kita. Peluang di depan gawang lawan jangan dipersia dan sudahkannya dengan jaringan," katanya.
Dalam pada itu, Sarjit menuntut anak buahnya memperagakan persembahan terbaik untuk melakar keputusan positif dalam aksi pertama tersebut.
"Aksi menentang Pakistan sangat mencabar. Jadi para pemain tiada pilihan berikan yang terbaik.
"Benteng pertahanan perlu mantap dan tidak boleh leka," katanya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!