Zuraida nafi sertai Bersatu
SHAH ALAM - Belum selesai isu berkaitan masalah disiplin dengan parti, kini Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Zuraida Kamaruddin berdepan masalah baharu apabila tular pula sepucuk surat bersama borang keahlian kononnya beliau memohon untuk menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Surat yang tersebar di media sosial dan menggunakan kepala surat Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) itu didakwa ditulis Zuraida yang merupakan Menteri KPKT dan ditujukan kepada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Setiausaha Politik Zuraida, Nor Hizwan Ahmad dalam satu kenyataan hari ini, bagaimanapun menafikan perkara tersebut dan menjelaskan ia adalah surat palsu.
Menurutnya, pihaknya maklum tentang penyebaran surat tersebut yang menggunakan kepala surat KPKT.
"Dengan tegas dinyatakan bahawa ia adalah palsu. Ia adalah kerja jahat dan amatur pihak tertentu yang cuba menangguk di air keruh atas situasi politik dalaman parti yang berlaku sekarang ini.
"Zuraida masih fokus menjalankan tanggungjawab dan tugasnya sebagai ahli parti serta Ketua Cabang PKR Ampang," katanya.
Nor Hizwan berkata, tindakan penyebaran surat itu adalah sangat tidak bertanggungjawab apabila mengaitkan kementerian dengan isu politik.
Sementara itu, menurut laporan portal Malaysia Gazette, Zuraida dikatakan tidak akan menyertai Bersatu sekiranya beliau dipecat daripada PKR.
“Sertai Bersatu, siapa yang beritahu? Anda tidak boleh mendengar khabar angin,” katanya selepas melancarkan penggunaan kereta elektrik oleh Majlis Bandaraya Pengerang, Johor di sini hari ini.
Zuraida menerusi laporan Malaysia Gazette berkata, penularan surat yang tular itu adalah berita palsu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!