TDM, tentera AS jalani latihan Eksesais Tiger Strike di Terengganu

Eksesais itu membabitkan Pasukan 10 Briged Para dan 15th Marine Expeditionary Unit, United States Marine Corps (15 MEU USMC) serta elemen sokongan daripada TLDM, TUDM, dan Tentera Laut Amerika Syarikat (US Navy). Foto FB TDM
Eksesais itu membabitkan Pasukan 10 Briged Para dan 15th Marine Expeditionary Unit, United States Marine Corps (15 MEU USMC) serta elemen sokongan daripada TLDM, TUDM, dan Tentera Laut Amerika Syarikat (US Navy). Foto FB TDM
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Tentera Darat Malaysia (TDM) dan pasukan Angkatan Tentera Amerika Syarikat (USF) sedang menjalani latihan ketenteraan Eksesais Tiger Strike 2024 selama 10 hari bermula 28 Mei hingga 6 Jun di Terengganu.

TDM dalam kenyataan pada Jumaat berkata, latihan ketenteraan peringkat antarabangsa itu dijalankan melibatkan kawasan di daerah Setiu dan Seberang Takir, Kuala Nerus.

Menurutnya, eksesais itu membabitkan Pasukan 10 Briged Para dan 15th Marine Expeditionary Unit, United States Marine Corps (15 MEU USMC) serta elemen sokongan daripada Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), dan Tentera Laut Amerika Syarikat (US Navy).

"Matlamat utama latihan ini adalah untuk meningkatkan kerjasama dan kecekapan antara ATM dan USF serta mengukuhkan hubungan dua hala dan mempertingkatkan kompetensi serta profesionalisme kedua pasukan terlibat.

"Latihan ini akan melibatkan banyak pergerakan kenderaan dan aset tentera, bunyi letupan dan penerbangan pesawat-pesawat tentera di sekitar kawasan terlibat," kata kenyataan itu.

Sehubungan itu, jelasnya, penduduk tempatan dinasihatkan untuk mengambil beberapa langkah bagi memastikan keselamatan dan kelancaran sepanjang latihan tersebut.

"Penduduk dinasihatkan untuk tidak memasuki kawasan latihan yang ditetapkan bagi memastikan keselamatan diri di mana kawasan yang terlibat dengan latihan juga akan diletakkan papan tanda berkaitan dengan jelas.

"Mereka dinasihatkan untuk memberi laluan kepada kenderaan tentera yang bergerak di jalan raya bagi mengelak sebarang gangguan atau kemalangan," jelas kenyataan berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, mereka perlu memberikan kerjasama dan mematuhi segala arahan diberikan oleh pihak berkuasa tempatan atau tentera bagi memastikan keselamatan dan kelancaran latihan tersebut.

"Penduduk diminta untuk tidak panik apabila terdengar bunyi tembakan atau melihat pergerakan dan aktiviti ketenteraan kerana ia merupakan sebahagian daripada latihan yang dirancang dan dikawal selia dengan ketat.

"Sebarang pertanyaan atau kebimbangan boleh diajukan kepada pihak berkuasa tempatan atau markas tentera terdekat untuk maklumat lanjut.

"Kerjasama semua terutama penduduk setempat amat dihargai bagi memastikan kelancaran dan keselamatan sepanjang tempoh eksesais ini," ujarnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!