Nurul Syazwani dilantik Ketua Penaja Bersatu Bahagian Tanjong Karang

Nurul Syazwani (kiri) menerima watikah pelantikan daripada Mohamed Azmin (tengah) di Ibu Pejabat PN di Kuala Lumpur pada 20 Mei lalu.
Nurul Syazwani (kiri) menerima watikah pelantikan daripada Mohamed Azmin (tengah) di Ibu Pejabat PN di Kuala Lumpur pada 20 Mei lalu.
A
A
A

KUALA SELANGOR - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang, Nurul Syazwani Noh dilantik sebagai Ketua Penaja Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Tanjong Karang berkuat kuasa serta-merta.

Watikah pelantikan itu disampaikan Pengerusi Bersatu Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali di Ibu Pejabat Perikatan Nasional (PN) di Kuala Lumpur pada 20 Mei lalu.

Nurul Syazwani berkata, tanggungjawab yang diberikan itu merupakan amanah besar yang harus dipikul dengan kesungguhan.

"Saya bertekad bekerja keras memperkuatkan Bersatu di Tanjong Karang dan memastikan kita terus berkhidmat untuk rakyat dan membawa perubahan positif kepada komuniti," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Khamis.

Nurul Syazwani
Nurul Syazwani

Nurul yang juga Ketua Penerangan Srikandi Bersatu turut menyatakan komitmen untuk terus berkhidmat dan memberikan impak positif kepada masyarakat.

"Kalau dahulu pelbagai isu yang kita dengar tentang Bersatu Tanjong Karang, namun kini sokongan yang lebih kuat ditunjukkan setelah kepimpinan baru Bersatu bahagian ini.

"Kami sudah bersedia pada bila-bila masa untuk mempertahankan kerusi Parlimen Tanjong Karang dan menjadikan Tanjong Karang kubu kuat PN," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Sehubungan itu, katanya, usaha bagi mengukuhkan parti itu dan PN telah dimulakan dengan mengadakan mesyuarat penting yang melibatkan ketua cawangan dan ketua pusat daerah mengundi (PDM) bagi memastikan strategi dan perancangan berjalan lancar serta memberikan impak signifikan kepada masyarakat setempat.

"Mesyuarat yang diadakan bertujuan untuk menyelaraskan aktiviti parti dan memastikan semua ahli serta pemimpin di peringkat PDM terlibat secara aktif.

"Fokus utama kita adalah untuk memperkukuhkan struktur organisasi dan meningkatkan kerjasama antara semua peringkat," ujar beliau.

Menurut Nurul, beliau juga telah menubuhkan beberapa cawangan dengan aktif dan mendekati anak-anak muda kawasan untuk bersama-sama meneruskan perjuangan agama, bangsa dan tanah air.

Dalam pada itu, katanya, Bersatu Bahagian Tanjong Karang juga akan melaksanakan 15 program korban di Tanjong Karang.

Tambah beliau, program itu bukan sahaja sebagai simbol pengorbanan dan kebajikan, tetapi juga sebagai platform untuk mengeratkan hubungan antara pemimpin parti dan masyarakat.

"Setiap program korban ini akan melibatkan ketua-ketua cawangan dan kepimpinan setempat yang akan membantu dalam pelaksanaan dan pengagihan sumbangan.

"Saya berharap usaha kita ini akan membawa manfaat besar kepada penduduk Tanjong Karang dan memperkuatkan lagi sokongan kepada parti Bersatu dan PN," jelas beliau.

Pada 24 Januari lalu, Ahli Parlimen Tanjong Karang yang juga bekas Ketua Bersatu bahagian itu, Datuk Dr Zulkafperi Hanapi menjadi pemimpin blok pembangkang keenam yang menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) sebelum ini meluluskan permohonan pindaan perlembagaan Bersatu yang membolehkan parti itu mengosongkan kerusi enam ahli Parlimen yang memberi sokongan kepada kerajaan.

Bersatu sebelum ini meluluskan Perkara 10 perlembagaan parti selepas memperoleh sokongan 1,956 perwakilan yang hadir pada Perhimpunan Agung Khas di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) Selayang.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!