Pantang larang bagi mereka yang lakukan ibadah korban

TIDAK dibenarkan seseorang menggabungkan niat untuk melakukan akikah dan korban pada bahagian haiwan korban yang sama. -Foto: Canva
TIDAK dibenarkan seseorang menggabungkan niat untuk melakukan akikah dan korban pada bahagian haiwan korban yang sama. -Foto: Canva
A
A
A

BAGI mereka yang melakukan ibadah korban, terdapat beberapa pantang larang tertentu sewajarnya tidak dilakukan.

Pendakwah Ustaz Wan Akashah Wan Abdul Hamid menjelaskan, ia termasuklah tidak boleh memotong kuku, rambut mahupun bulu yang terdapat pada badan apabila masuknya 1 Zulhijah hingga haiwan korban masing-masing disembelih sepanjang empat hari Aidiladha.

Pun demikian, beliau mengingatkan perkara itu bukanlah bersifat larangan secara mutlak hingga membawa hukum haram, tetapi peserta ibadah korban disunatkan untuk berbuat sebegitu.

USTAZ WAN AKASHAH
USTAZ WAN AKASHAH

“Ia termasuk bulu-bulu yang ada pada muka seperti misai dan jambang serta badan seperti bulu kaki dan sebagainya,” katanya ketika dihubungi Sinar Islam Plus baru-baru ini.

Fakta itu dikuatkan lagi dengan hadis Rasulullah SAW: “Sesiapa yang memiliki haiwan korban untuk disembelih, apabila kelihatan anak bulan Zulhijah, maka janganlah dia mengambil satu apa pun (yakni memotong) daripada rambutnya, mahupun daripada kukunya sehingga dia selesai berkorban.” (Hadis Riwayat Muslim)

Bagi mereka yang memotong kuku atau rambut pada tempoh berkenaan, Imam An-Nawawi dalam kitab Al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab menyatakan, makruh berbuat demikian.

Artikel Berkaitan:

Makruh dimaksudkan adalah makruh tanzih iaitu perbuatan terlarang tanpa dosa yang menyalahi adab dan lebih baik ditinggalkan.

Mengulas lanjut, Wan Akashah menjelaskan, tegahan itu ada alasannya.

BAGI mereka yang niat untuk melakukan ibadah korban, disunatkan agar tidak memotong kuku, rambut mahupun bulu pada badan bermula 1 Zulhijah hingga haiwan korban disembelih. -Foto: Canva
BAGI mereka yang niat untuk melakukan ibadah korban, disunatkan agar tidak memotong kuku, rambut mahupun bulu pada badan bermula 1 Zulhijah hingga haiwan korban disembelih. -Foto: Canva

Ini kerana Imam An-Nawawi menyatakan, ia supaya segala anggota badan kita itu semuanya akan bebas daripada api neraka, ungkapnya.

“Sebab itulah apabila kita berniat korban dan dalam tempoh berkenaan, peliharalah seluruh tubuh kita dengan sebaiknya.

“Andai kata ada bulu tercabut, tidak perlu sampai kita kena menyimpannya. Perkara itu di luar kemampuan kita dan bukan disengajakan. Maka ia dimaafkan.

“Ingatlah, janganlah kita buat ibadah korban sehingga menyusahkan diri sendiri (simpan kuku atau bulu yang tercabut sehingga haiwan korban kita disembelih). Cukuplah kita jaga sekadar kemampuan kita sahaja,” hurainya.

Upah tukang sembelih

Bukan itu sahaja, beliau berkata, orang yang melakukan ibadah korban turut dilarang mengupah daging korban kepada tukang sembelih.

“Jika mereka hendak beri upah pun, biarlah mereka menggunakan duit yang lain, bukannya daripada daging korban.

“Bagaimanapun, tukang sembelih tadi boleh mengambil daging korban tersebut asalkan ia bukan disebabkan kerana upah, tetapi atas dasar dirinya merupakan ahli kariah yang sememangnya termasuk sebagai antara penerima agihan daging korban berkenaan secara adil,” terangnya panjang lebar.

AGIHKAN daging korban mengikut anjuran syarak dan lakukanlah secara adil. -Foto: Canva
AGIHKAN daging korban mengikut anjuran syarak dan lakukanlah secara adil. -Foto: Canva

Dalam agihan daging korban, kata beliau lagi, sebaik-baiknya satu pertiga diambil oleh individu yang menyertai ibadah tersebut, manakala bakinya satu pertiga lagi masing-masing perlu dipastikan sampai kepada fakir miskin atau orang ramai secara adil.

Menjawab satu pertanyaan, Wan Akashah memberitahu, kita dibolehkan untuk melakukan ibadah korban dan akikah dengan melibatkan seekor haiwan seperti unta dan lembu yang mempunyai masing-masing tujuh bahagian.

“Misalnya, seseorang mahu buat dua bahagian untuk akikah dan lima bahagian lagi untuk ibadah korban, situasi itu dibolehkan.

“Apa yang tidak dibenarkan adalah apabila seseorang menggabungkan niat untuk melakukan akikah dan korban pada bahagian yang sama.

“Baik akikah mahupun ibadah korban, kedua-duanya adalah ibadah yang berbeza,” katanya.

Beliau berkata, kita disunatkan menggunakan pisau tajam ketika menyembelih haiwan korban dan tidak menakut-nakutkan binatang dengan menunjukkan bilah tajam berkenaan.

Seperkara lagi, pendakwah itu mengingatkan agar mereka yang berniat untuk melakukan ibadah korban disunatkan berpuasa bermula 1 hingga 9 Zulhijah terutamanya pada hari Arafah (9 Zulhijah).


ELAKKAN memberi upah daging kepada tukang sembelih melainkan ia diberikan bukan atas dasar upah, tetapi kerana individu itu merupakan salah seorang ahli kariah yang sememangnya termasuk sebagai antara penerima agihan daging korban berkenaan secara adil. -Foto: Canva
ELAKKAN memberi upah daging kepada tukang sembelih melainkan ia diberikan bukan atas dasar upah, tetapi kerana individu itu merupakan salah seorang ahli kariah yang sememangnya termasuk sebagai antara penerima agihan daging korban berkenaan secara adil. -Foto: Canva

“Detik itu merupakan masa yang baik dan mustajab berdoa, lebih-lebih lagi bagi individu yang berpuasa pada hari berkenaan.

“Selain itu, banyakkan bertasbih, bertahmid, bertakbir, memuji ALLAH SWT dan bersedekah di samping tidak melakukan maksiat,” ungkapnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!