Tiada istilah anak tidak menjadi, Fadhlina kongsi kisah anak sulung 'zero to hero'
SHAH ALAM - Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek menasihatkan golongan ibu bapa agar bersabar dengan proses kejayaan anak-anak dengan sentiasa memperkukuhkan ekosistem psikososial sokongan keluarga walau apa jua keputusan yang dicapai anak mereka dalam peperiksaan.
Menurutnya, tiada istilah anak yang tidak menjadi, tetapi kemenjadian anak ialah sebuah proses yang panjang iaitu memanusiakan manusia.
"Ketika ini, apa yang penting adalah membantu anak-anak mempersiapkan diri mereka untuk perjalanan selanjutnya.
"Maka di atas pentas yang berbeda, anak-anak kita akan bersinar dalam ruang yang mereka paling selesa.
"Mungkin seni, sukan, falsafah, menyusun kertas, memasak, melipat kain, membuang sampah dan mengikut kita ke pasar," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Jumaat.
Ia susulan keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang diumumkan baru-baru ini.
Pada masa sama, beliau berkongsi kisah kejayaan anak sulung yang digelar sebagai 'zero to hero'.
Katanya, dengan kehadiran enam cahaya mata, setiap mereka memerlukan pendekatan yang berbeza namun teras dan nilai fundamental tetap teguh.
"Ada satu perkara yang saya belajar sungguh daripada anak sulung kami, bahawa dalam apa jua keadaan, kepercayaan kami tetap utuh bahawa anak ini akan bersinar apabila tiba masanya! Maka saya dan suami harus sabar mendukung, mencipta ekosistem dan terus berdoa.
"Barangkali memang ada waktunya anak berasa terpinggir kerana tidak pernah menaiki pentas untuk menerima sebarang hadiah akademik, ketika adiknya saban tahun bergelar pelajar terbaik. Maka bermulalah proses kami menjaga ekosistem psikososial dan sokongan anak-anak dengan lebih kuat.
"Tiada tekanan untuk apa-apa kejayaan, yang ditumpukan adalah 'man jadda wajada' dan kita semua adalah kartika di langit seni masing-masing," katanya.
Tambah Fadhlina, kecekalan dan 'resilience' memaknai 'man jadda wajada' mula kelihatan ketika keputusan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) anak sulungnya, malah keputusan Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) juga di luar jangkaan.
"Kelmarin, anakanda berkongsi keputusan peperiksaan beliau dan pencapaian anugerah dekan.
"Saya meminta izin untuk berkongsi sedikit kisah ini daripada anak saya untuk refleksi perjalanan kami yang sentiasa berkongsi semua perasaan bersama.
"Saya fikir, setelah sekian lama, anak sulung saya telah menemui rentak kehidupannya," katanya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!