Lima dekad hubungan diplomatik Malaysia-China
PADA 31 Mei 2024, China dan Malaysia akan menyambut ulang tahun ke-50 penubuhan hubungan diplomatik.
Sepanjang 50 tahun yang lalu, kedua-dua negara jiran yang bersahabat telah mengekalkan amalan jujur dan terbuka, saling percaya dan saling membantu, menunjukkan contoh yang baik kepada masyarakat antarabangsa dalam mengendalikan hubungan dua hala.
Pertukaran budaya dan tamadun antara China dan Malaysia terukir dalam lembaran sejarah manusia. Mengimbas kembali peristiwa-peristiwa penting dalam hubungan diplomatik antara China dan Malaysia.
Pada penghujung musim bunga tahun 1974, bendera-bendera kebangsaan China dan Malaysia berkibar di sepanjang jalan-jalan utama di Beijing.
Slogan besar yang bertulis "Persahabatan China-Malaysia kekal abadi!" digantung di bangunan tinggi bandar itu.
Pengerusi Mao Zedong dan Perdana Menteri Zhou Enlai masing-masing bertemu dengan Perdana Menteri Malaysia pada masa itu, Tun Abdul Razak yang sedang melawat di Beijing.
Perdana Menteri Zhou menyampaikan perasaannya dengan penuh ikhlas, "Sudah lama saya menanti-nantikan kedatangan Tun ke Beijing, hari ini Tun akhirnya datang!" Tanggal 31 Mei 1974 sudah terpahat dalam sejarah.
Pada hari ini, Perdana Menteri Zhou Enlai dan Tun Abdul Razak telah menandatangani Kenyataan Bersama yang mengumumkan terjalinnya hubungan diplomatik China-Malaysia.
Malaysia antara negara anggota ASEAN yang terdahulu menjalinkan hubungan diplomatik dengan China sejak ASEAN ditubuhkan, membuka era baharu dalam hubungan China-Malaysia dan hubungan China-ASEAN pula membuka lembaran baharu.
Peribahasa Melayu 'air dicincang tidak akan putus' tepat menggambarkan persahabatan selama beribu-ribu tahun antara China dan Malaysia.
Dengan berpegang pada prinsip saling menghormati, saling mempercayai, saling menguntungkan serta masa depan yang dikongsi bersama, hubungan China dan Malaysia sentiasa berada di barisan hadapan dalam hubungan China dengan negara-negara ASEAN.
Dalam tempoh 50 tahun yang diharungi bersama ini, pertukaran peringkat tinggi antara kedua-dua negara menjadi semakin rapat, rasa saling percaya dan persahabatan yang akrab telah diwujudkan.
Pertukaran dan kerjasama antara kerajaan pusat dan tempatan, badan perundangan dan parti politik juga semakin erat.
Dalam isu-isu yang melibatkan kepentingan teras dan prihatin masing-masing, kedua-dua negara saling memahami dan teguh menyokong satu sama lain dalam usaha memelihara kedaulatan, keselamatan, kepentingan pembangunan serta bebas memilih jalan pembangunan yang sesuai dengan keadaan masing-masing.
Pada tahun 2013, Presiden Xi Jinping membuat lawatan negara ke Malaysia yang mencipta sejarah, hubungan China dan Malaysia dinaik taraf ke Perkongsian Strategik Komprehensif.
Pada tahun lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melawat China dua kali, mencapai kata sepakat dengan Presiden Xi Jinping mengenai pembinaan komuniti berkongsi nasib Malaysia-China sekali gus melakar pelan tindakan untuk hubungan China-Malaysia dalam era baharu.
Dalam tempoh 50 tahun yang berhasil ini, jumlah perdagangan dua hala China-Malaysia telah melonjak daripada kurang daripada AS$200 juta pada tahun penjalinan hubungan diplomatik iaitu tahun 1974 ke AS$190.24 bilion pada tahun 2023, meningkat sebanyak lebih 950 kali ganda.
China telah menjadi rakan dagang terbesar Malaysia selama 15 tahun berturut-turut dan sumber pelaburan utama Malaysia selama beberapa tahun berturut-turut.
Sementara itu, Malaysia adalah rakan dagang kedua terbesar China di ASEAN dan sumber import terbesar bagi China.
Pada suku pertama tahun ini, jumlah perdagangan China-Malaysia mencapai AS$47.08 bilion, meningkat 6.5 peratus, berbanding tempoh yang sama tahun lalu.
Pelaburan langsung China ke Malaysia dalam sektor bukan kewangan meningkat sebanyak 116 peratus kepada AS$723 juta. Kedua-dua negara telah membuahkan hasil yang melimpah dalam pembinaan bersama di bawah Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI).
Projek-projek seperti “Dua Negara, Taman Berkembar” dan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dilaksanakan dengan baik.
Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, China telah mempercepatkan pembangunan produktiviti baharu dan menyokong inisiatif-inisiatif yang dikemukakan oleh kerajaan Malaysia untuk memulihkan ekonomi, seperti Pelan Induk Perindustrian Baru 2030 (NIMP 2030) dan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR).
China juga memperluas kerjasama dengan Malaysia dalam bidang ekonomi digital dan pembangunan hijau.
Kita patut memanfaatkan pembangunan modenisasi ala China dan konsep 'Malaysia Madani', menyuntik daya dorong baru yang dapat mendorong pemulihan ekonomi dunia supaya kedua-dua dapat berkongsi menikmati hasil pembangunan dan kemakmuran bersama.
Dalam tempoh 50 tahun yang bersahabat ini, China dan Malaysia terus memperdalam kerjasama dalam pelbagai bidang termasuk sains teknologi, pendidikan, pelancongan dan kebudayaan.
Sebanyak 18 bandar kembar telah dijalinkan antara China dan Malaysia, China telah menubuhkan konsulat jeneral di Pulau Pinang, Kuching dan Kota Kinabalu.
Malaysia pula telah menubuhkan konsulat jeneral di Xi'an, Nanning, Kunming, Guangzhou dan Shanghai.
Selain itu, Pusat Pengajian Melayu China telah ditubuhkan di Universiti Pengajian Bahasa-bahasa Asing Beijing manakala kampus Universiti Xiamen, tujuh buah institut Konfusius dan sebuah kelas Konfusius telah ditubuhkan di Malaysia.
Pada tahun 2019 sebelum wabak, jumlah pertukaran dua hala mencecah 3.7958 juta orang dan China telah menjadi sumber pelancong terbesar Malaysia di luar ASEAN selama tujuh tahun berturut-turut.
Pada penghujung tahun lalu, kedua-dua negara telah mengumumkan pelaksanaan dasar pengecualian visa sesama rakyat dua negara, memberikan kemudahan besar kepada pertukaran dan pergerakan rakyat.
Sejak tahun ini, pelancong China yang melawat Malaysia telah melebihi 275,000 orang purata setiap bulan. Malah, kami telah mengadakan “Dialog Kepimpinan Islam-Konfusianisme” untuk mempromosikan pertukaran dan pembelajaran antara tamadun China dan Islam.
Mendiang Perdana Menteri Tun Abdul Razak pernah berkata, "Hubungan yang terjalin antara Malaysia dan China adalah seperti anak pokok yang baru ditanam. Memastikan pokok kecil ini tumbuh dengan subur adalah tugas kita bersama."
Selepas ditempa oleh pelbagai ujian dan cabaran selama setengah abad, pokok kecil itu kini telah tumbuh besar menjadi pokok yang menjulang tinggi.
Dalam menghadapi situasi antarabangsa yang berubah, China dan Malaysia sepatutnya mempererat pertukaran lawatan peringkat tinggi, memperdalam rasa saling percaya dalam isu politik dan mengukuhkan penyelarasan strategi pembangunan.
Selain memperdalam kerjasama dalam bidang konvensional, kedua-dua negara perlu giat meneroka potensi kerjasama dalam bidang ekonomi digital dan pembangunan hijau, terus memperluas pertukaran budaya dan mengeratkan hubungan antara rakyat supaya pokok persahabatan antara China dan Malaysia ini berakar umbi dengan kukuh, tumbuh dengan subur dan kekal selamanya.
Marilah kita berpandukan kata sepakat yang dicapai oleh pemimpin kedua-dua negara, mendorong pembentukan komuniti berkongsi nasib antara China dan Malaysia dan bersama-sama menjana hubungan dua hala kita ke arah lebih gemilang dalam 50 tahun akan datang.
*Ouyang Yujing ialah Duta China ke Malaysia
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!