Rapid Rail rekod jumlah penumpang harian tertinggi, lebih sejuta
![Rapid Rail berjaya merekodkan jumlah penumpang tertinggi pada Rabu lalu.](https://www.sinarharian.com.my/uploads/images/2024/05/31/2671382.jpg)
KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Rapid Rail Sdn Bhd (Rapid Rail) selaku pengendali perkhidmatan transit aliran ringan (LRT), monorel dan transit aliran massa (MRT) di Lembah Klang berjaya mencatatkan rekod mengendalikan lebih sejuta penumpang dalam sehari pada Rabu lalu.
Angka itu menunjukkan peningkatan lebih 35 peratus berbanding tarikh sama pada tahun lalu dan merupakan jumlah tertinggi yang pernah dicapai sejak penubuhannya.
Laluan Kelana Jaya mencatatkan bilangan penumpang tertinggi seramai 287,102 orang diikuti Kajang (274,302), Ampang/Sri Petaling (224,184), Putrajaya (157,767), pengguna monorel (61,236), menjadikan jumlah keseluruhan hampir 1.1 juta penumpang.
Rapid Rail dalam satu kenyataan memaklumkan, lonjakan itu dipacu oleh beberapa inisiatif yang digerakkan seperti penambahan kapasiti tren di Laluan Kelana Jaya dan Kajang serta pembukaan semula perkhidmatan tren antara Stesen Masjid Jamek dan Stesen Bandaraya sejak 17 Februari lalu.
"Pembukaan beberapa lokasi tarikan baru di sepanjang jajaran rel selain beberapa acara berskala besar sekitar stesen rel dan musim cuti sekolah turut menyumbang kepada peningkatan jumlah penumpang.
"Rapid Rail amat berbangga kerana sasaran membawa sejuta penumpang sehari berjaya dicapai enam bulan lebih awal daripada jangkaan yang ditetapkan," katanya menerusi kenyataan pada Jumaat.
Katanya, peningkatan itu membuktikan sokongan padu khususnya daripada warga Lembah Klang yang setia menggunakan perkhidmatan rel pada setiap hari.
Ujarnya, kejayaan itu juga merupakan satu perkembangan positif selaras dengan visi dan misi syarikat induk Rapid Rail iaitu Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) dalam memajukan mobiliti dan memperkayakan pengalaman pengguna pengangkutan awam.
"Rapid Rail ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua penumpang di atas sokongan berterusan terhadap perkhidmatan yang disediakan.
"Kejayaan ini akan menjadi titik pengukur baharu untuk Rapid Rail sentiasa menyediakan perkhidmatan yang lebih baik serta dapat menarik lebih ramai pengguna untuk beralih kepada pengangkutan awam pada masa hadapan," katanya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!