Seorang pendaki Malaysia berjaya diselamatkan di Gunung Denali

Muhammad Illaham (kanan) ketika program Penyerahan Bendera Ekspedisi Gunung Denali, Alaska. Foto Facebook Kelab Jelajah Alpine
Muhammad Illaham (kanan) ketika program Penyerahan Bendera Ekspedisi Gunung Denali, Alaska. Foto Facebook Kelab Jelajah Alpine
A
A
A

SHAH ALAM - Seorang daripada tiga pendaki rakyat Malaysia yang berjaya menawan Gunung Denali, Alaska, Amerika Syarikat dapat diselamatkan selepas terperangkap akibat cuaca buruk ketika perjalanan turun dari puncak berkenaan pada Selasa.

Wakil Kelab Jelajah Alpine (KJA) berkata, pendaki itu, Muhammad Illaham Ishak, 47, kini berada di hospital untuk mendapatkan rawatan manakala dua lagi iaitu Zainudin Lot, 47, dan Zulkifli Yusuf, 37, masih menanti pasukan penyelamat di lokasi pada ketinggian kira-kira 5,990 meter.

Menurut wakil kelab tersebut, panggilan dan isyarat kecemasan dilakukan dengan menggunakan alat komunikasi satelit pada petang Selasa selepas salah seorang daripada tiga pendaki mengalami kesukaran untuk berjalan.

Tangkap layar hantaran terkini Kelab Jelajah Alpine (KJA) pada Jumaat.
Tangkap layar hantaran terkini Kelab Jelajah Alpine (KJA) pada Jumaat.

“Muhammad Illaham turun berseorangan ke kem lima untuk mendapatkan bantuan pasukan penyelamat bagi membawa keluar dua lagi pendaki termasuk seorang yang cedera di kaki.

“Kedua-dua pendaki kini menanti untuk diselamatkan di kawasan dikenali dengan nama 'Football Field' berhampiran Gunung Denali kira-kira 200 meter dari puncak dan berlindung dalam gua salji.

“Pihak Park Ranger bersedia untuk proses menyelamat dan masih menunggu cuaca yang membenarkan helikopter untuk terbang. Saya difahamkan keadaan mereka stabil dan dikhuatiri mengalami kecederaan jari akibat radang dingin (frostbite) dan hypothermia,” katanya pada Jumaat.

Peta ekspedisi menawan puncak Gunung Denali, Alaska. Foto Facebook Kelab Jelajah Alpine
Peta ekspedisi menawan puncak Gunung Denali, Alaska. Foto Facebook Kelab Jelajah Alpine

Artikel Berkaitan:

Sebelum ini, Muhammad Illaham yang juga Presiden KJA telah melengkapkan pendakian beberapa puncak tertinggi seperti Gunung Kilimanjaro, Afrika; Gunung Elbrus, Rusia; Gunung Everest, Nepal; Gunung Aconcagua, Argentina dan Gunung Carstensz, Indonesia.

Ekspedisi yang disertai dua lagi pendaki itu bakal mendapat pengiktirafan Malaysia Book of Records sebagai pendakian sendiri iaitu tanpa sebarang bantuan malim gunung atau pihak profesional lain dari luar.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!