Bursa Malaysia dibuka tinggi

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

BURSA Malaysia dibuka tinggi pada Jumaat, disokong oleh minat belian baharu walaupun prestasi semalaman Wall Street rendah, kata penganalisis.

Pada jam 9.10 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 4.96 mata kepada 1,609.22 daripada 1,604.26 semalam.

Indeks petunjuk pasaran dibuka tinggi 4.62 mata kepada 1,608.88.

Bagaimanapun, dalam pasaran secara menyeluruh, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 324 berbanding 189, dengan 305 kaunter tidak berubah, 1,564 tidak diniagakan dan 46 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 414.65 juta saham bernilai RM258.76 juta.

Menurut Malacca Securities Sdn Bhd, pusat data akan menjadi segmen utama pada masa ini berikutan pelaburan Google sebanyak AS$2 bilion untuk pusat data dan perkhidmatan awan di Malaysia.

Katanya, ia yakin ini akan memberi manfaat kepada saham dalam sektor teknologi yang berkaitan dengan pemacu cakera keras, perkhidmatan pembuatan elektronik dan keselamatan siber.

"Sektor lain yang akan mendapat manfaat di bawah segmen ini termasuklah pembinaan, hartanah, bahan binaan dan utiliti,” katanya dalam nota penyelidikan.

Artikel Berkaitan:

Di pasaran global, katanya Wall Street ditutup rendah berikutan pelabur mengambil keuntungan sebelum data Indeks Harga Perbelanjaan Penggunaan Peribadi dikeluarkan hari ini yang akan mempengaruhi keputusan penurunan kadar oleh Rizab Persekutuan AS.

Pasaran saham Eropah ditutup tinggi manakala pasaran saham Asia ditutup rendah berikutan aktiviti pengambilan untung sebelum data ekonomi utama dikeluarkan, katanya.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank menambah tiga sen kepada RM9.93, Public Bank meningkat dua sen kepada RM4.10 dan IHH Healthcare meningkat lapan sen kepada RM6.27 manakala Tenaga Nasional merosot empat sen kepada RM13.14.

CIMB tidak berubah pada RM6.84.

Daripada saham aktif, Harvest Miracle naik setengah sen kepada 11 sen, Vizione meningkat satu sen kepada 5.0 sen dan JCY menambah 1.5 sen kepada 54 sen. Datasonic merosot setengah sen kepada 51 sen dan Genting susut sembilan sen kepada RM2.71.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas naik 13.41 mata kepada 12,250.12, Indeks FBMT 100 menambah 16.49 mata kepada 11,852.01, Indeks FBM Emas Shariah meningkat 8.81 mata kepada 12,489.42 manakala Indeks FBM ACE merosot 48.96 mata kepada 5,400.96 dan Indeks FBM 70 susut 56.87 mata kepada 17,563.02.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan naik 41.96 mata kepada 17,536.17, Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan menambah 0.63 mata kepada 196.01 dan Indeks Perladangan meningkat 8.79 mata kepada 7,158.42 manakala Indeks Tenaga merosot 4.28 mata kepada 982.71. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!