Nusantara ditakluk dajal
“Aku akan menakluk seluruh dunia, timur dan barat, kecuali Makkah dan Madinah!”
Demikianlah kenyataan penuh yakin daripada al-Masih Dajal. Mungkin ramai lega kerana Makkah dan Madinah selamat tetapi bagaimana dengan nusantara?
Kita salahkan barat seolah-olah baratlah punca segala kejahatan sehingga Profesor Syed Naquib al-Attas pun pernah menulis bahawa Islamisasi adalah ‘dewesternisasi’. Kita begitu fokus pada fitnah di barat sehingga kita lupa fitnah di timur. Apakah fitnah timur yang membuat nusantara begitu dayus sehingga menjadi pengikut al-Masih Dajal?
Nabi SAW mengingatkan kita tentang bahaya fitnah al-Masih Dajal. Kita lihat ramai netizan lebih tertarik kepada keanehan fizikal al-Masih Dajal sendiri seperti kononnya bermata satu sedangkan yang bahaya bukanlah matanya tetapi fitnahnya iaitu strateginya dalam menakluk jiwa rakyat nusantara.
Al-Masih tidak menakluk dunia tanpa strategi yang amat terancang. Al-Masih tidak akan mengisytiharkan dirinya sebagai pemimpin global sekiranya dia bakal ditolak oleh majoriti rakyat dunia. Dia perlu mendapat sokongan majoriti rakyat dunia termasuk umat nusantara. Apakah kelemahan umat nusantara?
Salah satu kelemahan rakyat nusantara ialah kecenderungan untuk taklid buta kepada mana-mana individu yang dilabel sebagai ‘ulama’. Seorang rakyat biasa wajib taat setia kepada ulama seolah-olah ulama adalah wakil tuhan.
Bila kita kenal kelemahan rakyat nusantara, apakah strategi al-Masih untuk menguasai jiwa nusantara? Adakah al-Masih Dajal akan memperjuangkan ateisme (tidak percaya kepada kewujudan Tuhan) atau memperjuangkan budaya taksub kepada ulama?
Ateis adalah lalang yang mengikut arus dan bersifat individualistik. Mereka menjadi ateis kerana mereka tidak nampak kuasa ketuhanan. Bayangkan al-Masih Dajal menunjukkan kuasanya iaitu memanggil hujan dari langit dan menghidupkan yang mati! Sudah pasti gerakan ateis akan terus meninggalkan ateisme, lalu beriman kepada 'tuhan' yang bernama al-Masih!
Maka sudah tentu salah satu fitnah al-Masih ialah ateisme. Tetapi majoriti rakyat nusantara beriman kepada Tuhan. Maka strategi yang lebih berkesan untuk menakluk jiwa nusantara ialah memperkasakan budaya taksub kepada ulama.
Sebuah budaya taksub perlu brainwash rakyat tentang kewajiban menghormati hierarki kemanusiaan. Ada manusia yang berada di bawah hierarki dan ada yang super elit yang berada di aras paling tinggi dalam hierarki. Super elit itulah yang bergelar ulama.
Memang wujud ulama sejati yang akan berlawan dengan al-Masih tetapi apakah strategi al-Masih seterusnya pula dalam menentang ulama sejati ini? Al-Masih perlu melahirkan ulama-ulama yang menjadi idola kepada majoriti rakyat nusantara tetapi pada masa sama, ulama-ulama itu adalah badut al-Masih.
Bagaimana melahirkan ulama yang menjadi idola umat nusantara dan pada yang sama ulama itu adalah badut al-Masih? Strateginya ialah perlu di wujudkan sebuah birokrasi ulama.
Birokrasi itulah yang akan menentukan siapa yang layak diberi lesen ‘ulama’. Menjadi ulama seperti mengambil lesen kereta!
Bezanya ialah lesen kereta diberi oleh jabatan pengangkutan jalan raya tetapi lesen ulama dikeluarkan oleh birokrasi yang glamor seperti universiti Islamik, jabatan agama dan parti Islamik.
Rakyat pula perlu dididik sejak dari kecil lagi untuk beriman atau memberhalakan pendidikan universiti, tauliah jabatan agama dan parti politik. Baiah diberi kepada birokrasi, bukan kepada kualiti seseorang pemimpin. Taat setia wajib pada universiti, jabatan agama dan parti walaupun pemimpin bertukar ganti.
Kepimpinan birokrasi adalah langkah pertama di mana al-Masih boleh mencucuk jarum halus. Terselindung di belakang tirai birokrasi, al-Masih melancarkan serangan ideologi sehingga jiwa nusantara di takluknya.
Bersambung minggu depan tentang masalah birokrasi.
*Xifu Naser Tun Rahman ialan Pensyarah Pemikiran Kritis UIAM
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!