'Barakan semula api perjuangan Bayern Munich'
PENGENDALI baharu Bayern Munich, Vincent Kompany menggariskan gaya permainan untuk gergasi Bundesliga Jerman itu, dengan menuntut tahap lebih tinggi dan tampil berani daripada pemainnya.
“Bagi saya mudah sahaja. Latihan yang anda jalani itulah yang membentuk karakter diri anda sebagai seorang pemain.
“Keperibadian saya didedahkan dan dibesarkan di Brussels, saya berada di akademi Anderlecht sejak umur enam hingga 20 tahun, anda perlu memenangi segala-galanya,” kata bekas pemain pertahanan Belgium itu.
Kompany telah menandatangani perjanjian bersama Bayern sehingga 2027 selepas kapten Manchester City itu meninggalkan Burnley yang tersingkir dari Liga Perdana Inggeris.
Bayern, juara Bundesliga dalam 11 musim sebelumnya, menduduki tempat ketiga di belakang Bayer Leverkusen dan VfB Stuttgart.
Jagoan Jerman itu juga gagal memenangi piala domestik atau Eropah buat pertama kali dalam tempoh lebih sedekad, menyaksikan pengendali Thomas Tuchel, diumumkan meninggalkan kelab pada Februari.
Ketibaan Kompany, yang mempunyai pengalaman Bundesliga pernah bersama Hamburg SV dan bertutur dalam bahasa Jerman, menamatkan pencarian berbulan-bulan pengganti Tuchel.
Beberapa calon memutuskan kekal dalam persekitaran pekerjaan mereka sekarang, termasuk Xabi Alonso dari Leverkusen, bekas jurulatih Julian Nagelsmann dan Ralf Rangnick dari Austria.
“Saya mahu pemain Bayern benar-benar berani menguasai bola, mempunyai personaliti. Saya mahu pasukan menjadi agresif, mewakili dua perkara itu.
“Benar-benar berani apabila mereka menguasai bola dan membuat keputusan dan benar-benar agresif, sesuatu yang sentiasa mereka bawa setiap minit permainan,” kata Kompany.
Dalam karier pengurusannya yang singkat, Kompany, yang bermain 360 perlawanan untuk Manchester City dan memenangi empat kejuaraan Liga Perdana Inggeris, telah memperoleh reputasi untuk bermain bola sepak bebas dan berasaskan penguasaan.
Dia memulakan karier kejurulatihannya di kelab Belgium Anderlecht sebelum menyertai Burnley pada 2022, menyaksikan pendekatannya berfungsi baik sepanjang bersaing di Liga Kejuaraan yang membolehkan kenaikan pangkat ketika perlawanan berbaki tujuh perlawanan.
Bagaimanapun, Burnley gagal menyerlahkan potensi pasukan apabila menentang pasukan berkaliber lebih tinggi di pentas Liga Perdana Inggeris yang menyaksikan The Clarets tersingkir selepas menduduki tempat ke-19 dengan 24 mata dan hanya lima kemenangan sepanjang musim ini.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!