Santuari Gajah Perak bantu selesai isu gajah ganggu lalu lintas

Kok Lim (kanan) melihat gajah di Zoo Taiping selepas merasmikan Program Jom Melawat Zoo Taiping di Pavilion Zoo Taiping & Night Safari pada Jumaat.
Kok Lim (kanan) melihat gajah di Zoo Taiping selepas merasmikan Program Jom Melawat Zoo Taiping di Pavilion Zoo Taiping & Night Safari pada Jumaat.
A
A
A

TAIPING - Santuari Gajah Perak yang akan dibina di Gerik bakal menyelesaikan isu kacau ganggu mamalia tersebut di Jalan Raya Timur Barat (JRTB).

Exco Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Perak, Teh Kok Lim berkata, lokasi santuari gajah tersebut telah dikenal pasti.

Menurutnya, kerajaan negeri kini sedang dalam peringkat pindah milik tanah kawasan berkenaan kepada kerajaan Persekutuan untuk dilaksanakan segera.

"Setakat ini kita masih di peringkat kelulusan tanah. Santuari gajah ini dijangka menyelesaikan isu kacau ganggu gajah di sepanjang jalan raya ini.

"Kawasan itu memang laluan gajah. Jadi saya nasihatkan pengguna jalan raya supaya berhati-hati menggunakan jalan raya tersebut. Jaga diri kita, jaga haiwan liar," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Jom Melawat Zoo Taiping di Pavilion Zoo Taiping & Night Safari di sini pada Jumaat.

Pada 18 Julai 2020, Kementerian Tenaga dan Sumber Asli mengumumkan membina sebuah Santuari Gajah Perak (PES) di Batu 11, Lebuhraya Timur-Barat berhampiran Gerik, Perak.

Projek yang disenaraikan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) dibangunkan dengan kos kira-kira RM40 juta dalam usaha berterusan memulihara haiwan liar itu, sekali gus menangani konflik antara gajah dan manusia.

Kok Lim (kanan) turut memberi makan gajah selepas merasmikan Program Jom Melawat Zoo Taiping di Pavilion Zoo Taiping & Night Safari pada Jumaat.
Kok Lim (kanan) turut memberi makan gajah selepas merasmikan Program Jom Melawat Zoo Taiping di Pavilion Zoo Taiping & Night Safari pada Jumaat.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, mengenai program Jom Melawat Zoo Taiping, Kok Lim berkata, seramai 560 pelajar dari 28 sekolah rendah dan menengah di sekitar Parlimen Taiping menyertai program tersebut secara percuma.

Menurutnya, sebanyak RM20,000 diperuntukkan oleh Ahli Parlimen Taiping, Wong Kah Woh untuk melaksanakan program tersebut bermula 30 Mei hingga 2 Jun 2024.

Hadir sama pada majlis itu, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Taiping (MPT), Khairul Amir Mohamad Zubir dan Pengarah Zoo Taiping & Night Safari, Dr Muhamad Ridhwan Affendi.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!