[VIDEO] Bengkel pembuatan sabun serlah kreativiti warga emas

A
A
A

TAPAH - Semakin ramai warga emas menyertai kursus dan bengkel di institusi pengajian tinggi (IPT) selari dengan perkembangan sains dan teknologi.

Seramai 10 peserta warga emas mencabar diri dengan mengikuti bengkel pembuatan sabun selama lima hari di UiTM Cawangan Perak Kampus Tapah.
Seramai 10 peserta warga emas mencabar diri dengan mengikuti bengkel pembuatan sabun selama lima hari di UiTM Cawangan Perak Kampus Tapah.

Selain memberi nilai tambah kepada kemahiran sedia ada, ilmu diperoleh dapat mengupayakan golongan tersebut kekal produktif dan relevan dalam masyarakat.

Salah seorang peserta membuat catatan bahan yang diguna pakai dalam pembuatan sabun ketika mengikuti bengkel pembuatan sabun di UiTM Cawangan Perak Kampus Tapah.
Salah seorang peserta membuat catatan bahan yang diguna pakai dalam pembuatan sabun ketika mengikuti bengkel pembuatan sabun di UiTM Cawangan Perak Kampus Tapah.

Seperti dilakukan 10 pesara kerajaan dan swasta ini yang menyertai bengkel pembuatan sabun di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Perak Kampus Tapah.

Bengkel lima hari bermula Rabu itu dilaksanakan di bawah program Pendidikan dan Latihan Teknikal Vokasional (TVET) warga emas Pusat Aspirasi Anak (PASAK) bersama Fakulti Sains Gunaan UiTM dengan geran pembiayaan berjumlah RM12,000.

Peserta menerima bimbingan secara terus daripada pensyarah Fakulti Sains Gunaan sepanjang lima hari bengkel berlangsung.
Peserta menerima bimbingan secara terus daripada pensyarah Fakulti Sains Gunaan sepanjang lima hari bengkel berlangsung.

Sepanjang bengkel, semua peserta yang berusia antara 60 hingga 71 tahun didedahkan dengan pengetahuan dan kemahiran diperlukan dalam pembuatan sabun daripada sumber bahan terpakai secara saintifik dan selamat.

Artikel Berkaitan:

Pesara guru, Mohd Daud Arsad, 66, dari Jalan Damai berkata, modul yang diperkenalkan amat sesuai untuk golongan warga emas sepertinya apatah lagi hanya menggunakan bahan terpakai yang ada di rumah.

Mohd Daud
Mohd Daud

Menurutnya, pembuatan sabun juga boleh dikembangkan sebagai satu perniagaan sama ada secara persendirian mahupun melalui koperasi.

"Kebetulan saya dan dua rakan yang menyertai bengkel ini merupakan ahli Koperasi Pekerja-pekerja Kerajaan (KOSPEK) Tapah dan memang ada bercadang untuk membuka kilang.

"Dengan ilmu yang ada ini, kami sangat teruja dan besar hasrat kami dapat mengusahakan kilang pembuatan sabun bagi menjana pendapatan koperasi," katanya ketika ditemui pemberita.

Rafidah Mohd Idris, 66, dari Ayer Kuning pula berkata, dia pernah mengusahakan perniagaan kedai dobi dan telah menghasilkan sabun daripada bahan terpakai sejak dua tahun lalu.

Rafidah
Rafidah

Begitupun katanya, pengetahuan yang dimiliki sebelum ini sangat terhad berbanding yang diperoleh daripada bengkel berkenaan.

"Kalau sebelum ini saya hasilkan sabun basuh pinggan sahaja, tetapi bila sertai bengkel ini, macam-macam ilmu saya dapat contohnya dengan tambahan beberapa bahan, boleh juga menghasilkan sabun mandian dan cucian baju.

Peserta didedahkan dengan pengenalan komponen kimia dalam sabun, keselamatan dan etika pembuatan sabun.
Peserta didedahkan dengan pengenalan komponen kimia dalam sabun, keselamatan dan etika pembuatan sabun.

"Selepas ini dapatlah saya perbanyakkan jenis sabun dan jual secara kecil-kecilan. Walaupun sudah pencen, kita perlu mencari aktiviti supaya otak dan badan sentiasa kekal cergas dan sihat," katanya.

Sementara itu, Pengarah projek, Adibatul Husna Fadzil berkata, antara modul yang diguna pakai adalah pengenalan komponen kimia dalam sabun, keselamatan dan etika pembuatan sabun, kaedah pembuatan sabun pencuci pinggan dan pakaian serta kaedah pembuatan sabun daripada susu tepung, minyak terpakai dan bahan organik.

Adibatul Husna menunjukkan pelbagai jenis sabun daripada bahan terpakai yang dihasilkan menerusi bengkel pembuatan sabun di UiTM Cawangan Perak Kampus Tapah.
Adibatul Husna menunjukkan pelbagai jenis sabun daripada bahan terpakai yang dihasilkan menerusi bengkel pembuatan sabun di UiTM Cawangan Perak Kampus Tapah.

Beliau yang merupakan Pensyarah Kanan Fakulti Sains Gunaan berkata, peserta turut didedahkan dengan strategi pemasaran produk dan pengiraan bahan kos serta keuntungan sekiranya menjalankan perniagaan menjual sabun.

"Sebelum ini PASAK bersama UiTM ada jalankan dua bengkel iaitu membaiki komputer dan telefon. Cuma ini projek pertama bersama Fakulti Sains Gunaan yang betul-betul menghasilkan produk yang boleh dijual.

"Dalam bengkel ini peserta diajar menghasilkan sabun daripada bahan seperti minyak terpakai, serbuk kopi, susu tepung dan oat yang telah tamat tempoh. Ada juga kalangan peserta membawa bersama daun sireh dan limau purut sebagai bahan tambah dalam pembuatan ini," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!