Bekas Presiden UMANY gagal batal tuduhan ingkar arahan polis

Yan Ke (kiri) hadir di Mahkamah Majistret Petaling Jaya pada Jumaat bagi mendengar permohonannya untuk membatalkan satu pertuduhan mengingkari arahan pegawai polis empat tahun lalu.
Yan Ke (kiri) hadir di Mahkamah Majistret Petaling Jaya pada Jumaat bagi mendengar permohonannya untuk membatalkan satu pertuduhan mengingkari arahan pegawai polis empat tahun lalu.
A
A
A

PETALING JAYA - Permohonan bekas Presiden Persatuan Belia Baharu Universiti Malaya (UMANY) bagi membatalkan satu pertuduhan mengingkari arahan pegawai polis empat tahun lalu ditolak oleh Mahkamah Majistret di sini, pada Jumaat.

Majistret, Shahril Anuar Ahmad Mustapha berkata, mahkamah telah meneliti afidavit daripada pemohon, Wong Yan Ke dan pendakwaan selaku responden.

“Ia termasuk hujahan bertulis dan lisan daripada kedua-dua pihak, maka mahkamah memutuskan permohonan pemohon, ditolak,” katanya.

Susulan keputusan berkenaan, mahkamah menetapkan perbicaraan kes tersebut berjalan pada 26 dan 27 Jun depan.

Dalam kes ini, Timbalan Pendakwa Raya, Asmaa’ Zamri hadir selaku responden sementara peguam, Shashi Devan bagi mewakili Yan Ke selaku pemohon.

Pada 13 November 2020, pemuda berusia 28 tahun itu selaku orang kena saman (OKS), didakwa ingkar perintah yang dibuat oleh seorang penjawat awam, iaitu Asisten Superintenden Lee Robert supaya berhenti membuat rakaman video secara langsung di Facebook, semasa polis tersebut membuat serbuan.

Kejadian didakwa dilakukan di sebuah rumah di Jalan 17/48, di sini pada jam 3.30 petang, 7 November 2020.

Graduan Universiti Malaya dalam jurusan kejuruteraan awam itu didakwa mengikut Seksyen 188 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga sebulan atau dengan denda maksimum RM400 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Artikel Berkaitan:

Aktivis itu ditahan pada 7 November 2020, ketika polis menyerbu kediaman aktivis, Yap Wen Qing berhubung siasatan ke atas satu artikel disiarkan UMANY berkaitan peranan Yang di-Pertuan Agong.

Yan Ke merakam serbuan polis menggunakan telefon bimbitnya.

UMANY menyiarkan artikel bertajuk 'Yang di-Pertuan Agong should not intervene in national affairs' di laman Facebooknya, tetapi ia menarik balik artikel terbabit dan memohon maaf kepada Agong menerusi catatan Facebook pada 12 November tahun sama.

Pada 4 Oktober 2023, Yan Ke dilepaskan tanpa dibebaskan (DNAA) atas pertuduhan itu, selepas pihak pendakwaan gagal mengemukakan semua lima saksinya di mahkamah.

Bagaimanapun, pada 14 November 2023, Mahkamah Tinggi Shah Alam mengetepikan keputusan itu dan kes berkenaan akan ditetapkan untuk perbicaraan di Mahkamah Majistret.

Sementara itu, ketika ditemui di luar mahkamah, Yan Ke menyatakan kekecewaannya selepas permohonan untuk membatalkan kes ingkar perintah itu, ditolak mahkamah.

Menurutnya, selepas berbincang dengan peguam, dia menganggap mahkamah akan menyebelahinya kerana dia mempunyai peluang yang cerah untuk menggugurkan kes.

“Saya harap orang awam ambil berat kes ini, berbanding kes yang saya hadapi iaitu protes di pentas konvokesyen.

“Ini soal sama ada kita boleh buat rakaman video terhadap pihak polis terutamanya melibatkan kepentingan keselamatan,” katanya.

Dia berkata, perjuangan itu akan diteruskan tanpa mengira sama ada dia akan menang atau kalah.

ARTIKEL BERKAITAN: [VIDEO] Bekas Presiden UMANY tak mengaku ingkar perintah penjawat awam

Kes UMANY: Yan Ke ditahan ganggu tugas polis

Yan Ke didenda RM5,000 aibkan bekas Naib Canselor UM

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!