Wanita terkena renjatan mengadu sakit dada, sukar bernafas
KOTA BHARU - Wanita yang terkena renjatan elektrik dalam kejadian kebakaran membabitkan lima rumah di Kampung Lundang awal pagi Jumaat mengadu panas dalam badan, sukar bernafas dan sakit dada.
Wan Nurul Adlin Wan Abdullah Sani, 38, yang turut mengalami lebam di badan kini ditempatkan di wad sementara Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ) untuk pemantauan doktor selepas dimasukkan ke wad kecemasan kira-kira jam 5.30 pagi.
Berkongsi kejadian berkenaan, kakak mangsa, Wan Rohaida, 46, yang tinggal di Kampung Telipot di sini memberitahu menerima panggilan daripada adiknya yang meminta tolong menyelamatkan barangnya ketika kebakaran berlaku.
"Adik saya mengadu mengalami sakit tangan kerana menarik wayar elektrik yang terjatuh beberapa meter dari rumahnya.
"Kami fikir keadaannya tidak serius dan dia memegang ais untuk mengurangkan kebas badan tetapi tidak lama kemudian dia mengadu sakit dada dan panas badan," katanya ketika dihubungi.
Menurut Wan Rohaida, pada mulanya adiknya menggunakan kayu untuk mengalihkan wayar elektrik yang terputus untuk mengelakkan rumahnya turut terbakar, namun selepas itu menyentuhnya dengan tangan.
Ujarnya, kediaman adiknya itu selamat kerana pihak bomba sempat tiba dan memadamkan kebakaran rumah terlibat.
Jelasnya lagi, tidak tahan melihat adiknya dalam keadaan panas dan kebas, ahli keluarga memaklumkan kepada anggota bomba supaya menghantarnya ke hospital.
"Kami semua mendoakan Wan Nurul Adlin dapat pulih dengan cepat dan keadaan kembali seperti biasa," katanya.
Media sebelum ini melaporkan tiga buah rumah iaitu sebuah rumah jenis separuh kekal hangus 100 peratus manakala dua jenis kekal mengalami kemusnahan sebanyak 70 peratus.
Dalam kejadian di Kampung Lundang itu, anggota bomba turut menghantar seorang wanita yang terkena renjatan di lokasi ke HRPZ II pada jam 5.30 pagi.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!