[VIDEO] Pemandu lori ais sambilan, tak mengaku cabul wanita
MELAKA - Seorang pemandu lori ais sambilan dihadapkan ke Mahkamah Majistret, di sini, pada Jumaat atas pertuduhan mencabul seorang wanita, Mac lalu.
S Kauiarsu, 27, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Sharda Shienha Mohd. Suleiman.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa melakukan kekerasan jenayah terhadap seorang wanita berusia 23 tahun dengan niat untuk mencabul kehormatannya.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di tempat meletak kenderaan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Bukit Katil, di sini, kira-kira jam 11.50 pagi, pada 13 Mac lalu.
Berikutan itu dia didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang membawa kepada hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua hukuman, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, Farah Nabihah Roslan mencadangkan jaminan sebanyak RM7,000 berserta syarat tambahan tertuduh tidak dibenarkan mengganggu mangsa sehingga kes selesai.
Bagaimanapun tertuduh yang diwakili Peguam K Shareveen merayu tertuduh yang masih bujang dikenakan kadar jaminan rendah dengan alasan tidak mempunyai pekerjaan tetap dan hanya dibayar gaji RM50 sehari sebagai pemandu lori sambilan selain perlu menanggung ibu bapa yang menghidap sakit jantung.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh dijamin RM3,000 dengan seorang penjamin dan bersetuju dengan syarat tambahan yang dipohon pihak pendakwaan.
Mahkamah turut menetapkan 16 Julai depan untuk sebutan semula kes serta lantikan peguam.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!