Trump tawar pertahanan komprehensif pertama
WASHINGTON - Selepas menolak kerjasama dengan Parti Demokrat yang memimpin siasatan pemecatan di Dewan Perwakilan, Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump menawarkan pertahanan komprehensif pertamanya sebelum perbicaraan dimulakan di senat esok.
Trump yang merupakan empat daripada 45 Presiden AS yang berdepan kemungkinan digulingkan oleh pemecatan perlu menyerahkan pertahanan bertulisnya pada jam 5 petang (waktu tempatan) hari ini.
"Ini adalah percubaan melampau dan menyalahi undang-undang untuk membatalkan keputusan pilihan raya 2016 dan mengganggu pemilihan 2020 yang hanya beberapa bulan sahaja lagi," tegas peguam Trump dalam hujah tindak balas awal enam muka surat berhubung tuduhan tersebut.
Dalam dokumen 111 halaman yang difailkan sebelum perbicaraan Senat hari ini, penggubal undang-undang Demokrat menegakkan hujah mereka menyatakan Trump perlu disingkirkan untuk melindungi keselamatan negara dan memelihara sistem kerajaan AS.
Pasukan undang-undang Presiden akan hadir ke perbicaraan Senat esok bagi mempertikaikan keputusan pemecatannya kerana menyifatkan tindakan beliau terhadap Ukraine bukan kesalahan jenayah.
Bulan lalu, jutawan hartanah itu dipecat oleh Dewan Perwakilan atas dua tuduhan iaitu salah guana kuasa dan menghalang siasatan Kongres termasuk pendedahan beliau cuba menyiasat pesaingnya Joe Biden dalam Pilihan Raya Presiden AS 2020.
Profesor Emeritus Havard, Alan Dershowitz yang baru menyertai kumpulan penasihat Trump memberitahu CNN bahawa beliau akan meminjam hujah yang dibuat oleh bekas Hakim Mahkamah Agung, Benjamin Curtis semasa pemecatan Presiden Andrew Johnson pada 1868.
"Beliau menyampaikan hujah dengan jayanya kepada Senat bahawa tindakan jenayah diperlukan sebelum dipecat. Hujah itu menang. Jadi saya akan menggunakan hujah tersebut sebagai peguam dan bagi pihak pasukan pertahanan Presiden dalam menentang pemecatan," katanya.
Menerusi program berita This Week yang disiarkan di ABC, Dershowitz mempersoalkan bahawa artikel undian pemecatan oleh Dewan Perwakilan tidak memenuhi piawaian Perlembagaan untuk menghukum seseorang Presiden.
"Anda mempunyai banyak keterangan dan bukti yang boleh dipertikaikan. Tetapi undi adalah untuk mencabar salah guna kuasa yang tidak termasuk dalam kriteria Perlembagaan untuk memecat dan menghalang keadilan," katanya.
Dalam jawapan Trump kepada perbicaraannya, peguam Trump berpendapat bahawa artikel pertama mengenai pemecatan terhadap Presiden itu adalah tidak sah kerana ia sama sekali tidak didakwa atas kesalahan jenayah seperti yang dikehendaki Perlembagaan dan hakikatnya ia tidak melanggar undang-undang. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!