Dijel sehari, denda RM3,000 kerana curi makanan ringan, arak

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

AMPANG - Tindakan seorang penganggur mencuri 13 jenis makanan ringan dan minuman keras ketika berada dalam keadaan mabuk, mengundang padah apabila Mahkamah Majistret, di sini pada Jumaat menjatuhi lelaki itu hukuman penjara sehari dan denda RM3,000.

RG Ravitheran, 31, dikenakan hukuman berkenaan selepas mengaku bersalah atas satu pertuduhan yang dibaca di hadapan Majistret, Shahril Anuar Ahmad Mustapha.

Mahkamah turut memerintahkan dia dipenjara dua bulan, sekiranya gagal membayar denda terbabit.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa mencuri 13 barangan minuman keras dan makanan ringan termasuk susu serta aiskrim bernilai RM556.10 di sebuah pasar raya dalam kawasan kondominium di Ara Damansara, di sini pada jam 1.22 pagi, 22 Mei lalu.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun dan boleh dikenakan denda.

Bagi kesalahan kedua atau seterusnya, tertuduh boleh dipenjara dan boleh juga dikenakan denda atau sebat, jika sabit kesalahan.

Mengikut fakta kes, pada jam 9.45 pagi, 22 Mei lalu, pekerja pasar raya itu diberitahu bahawa stok barangan bahagian minuman keras didapati berkurangan.

Hasil semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendapati, seorang lelaki dan tiga individu lain memasuki premis berkenaan lalu mengambil beberapa barang tanpa membayarnya.

Artikel Berkaitan:

Semasa prosiding, Ravitheran yang tidak diwakili peguam merayu dikenakan hukuman ringan kerana perlu menanggung ibu, isteri dan dua anaknya.

“Ketika itu saya berada dalam keadaan mabuk, tidak sedar telah membawa anak dan isteri ke pasar raya itu, malah saya juga tidak diberitahu tidak boleh membeli belah selepas jam 12 malam.

“Isteri tidak tahu apa-apa, sebab saya sahaja yang curi barang itu, saya mengaku bersalah,” katanya.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Asmaa’ Zamri memohon mahkamah menjatuhi hukuman berat sebagai pengajaran.

Sementara itu, isteri tertuduh, A Christina, 36, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan sama dan mahkamah membenarkan dia diikat jamin sebanyak RM2,800 dengan seorang penjamin.

Mahkamah menetapkan 30 Julai depan untuk sebutan semula kes untuk serahan dokumen dan pelantikan peguam.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!