Didik anak cara Rasulullah SAW
Dibahagikan kepada empat tahap umur, garis panduan lengkap kepada ibu bapa
PERIBAHASA ‘melentur biarlah waktu rebungnya’ seperti yang ditulis dalam Kamus Istimewa Peribahasa Melayu amatlah tepat untuk digambarkan berkaitan dengan pendidikan awal anak-anak.
Lebih utama lagi berkenaan dengan didikan agama yang akan menjadi panduan hidup sepanjang hayat mereka.
Apatah lagi suasana zaman sekarang termasuk dunia internet tanpa sempadan yang mudah diakses di mana dan bila-bila masa sahaja, menyebabkan didikan agama terhadap anak-anak lebih perlu diberi penekanan.
Mengambil panduan mendidik anak-anak mengikut garis yang sudah disediakan Islam, Iktibar Mimbar Jumaat kali ini mengupas khutbah Jumaat bertajuk ‘Didik anak ikut Rasulullah SAW’ yang disediakan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).
Menurut JAIS, ALLAH SWT memerintahkan agar setiap umat Islam menjaga diri dan keluarga daripada melakukan maksiat dan dosa seperti yang terkandung dalam ayat ke-6 Surah at-Tahrim.
“Wahai orang-orang yang beriman, peliharalah diri kamu serta ahli keluarga kamu daripada api neraka.”
Khatib menjelaskan, mendidik anak antara cabaran besar buat ibu bapa kerana tidaklah semudah yang disangka.
Empat peringkat yang boleh dijadikan panduan dalam mendidik anak-anak mengikut sunnah Rasulullah SAW adalah:
1 – Tahap pertama – selepas kelahiran anak sehingga enam tahun
Menurut khatib, pada tahap ini, Rasulullah SAW menyuruh kita untuk memanjakan, mengasihi dan menyayangi anak-anak dengan kasih sayang serta adil terhadap semua anak.
"Anak pula menjadikan ibu bapa sebagai rujukan sekiranya menghadapi sesuatu masalah.
"Anak-anak akan lebih dekat dengan kita (ibu bapa) dan merasakan kasih sayang ibu bapa semasa membesar yang boleh dianggap sebagai rakan serta rujukan yang terbaik," katanya.
Tambahnya, anak-anak juga akan merasa aman dalam meniti usia mereka kerana mereka tahu yang ibu bapa selalu ada di sisi mereka setiap masa selain ibu bapa memberikan sepenuh perhatian untuk mendidik dan mengawal tingkah laku serta pergerakan anak-anak.
2 – Tahap kedua – ketika umur anak tujuh hingga 14 tahun
Pada tahap ini ibu bapa perlu menanamkan nilai disiplin dan tanggungjawab kepada anak-anak seperti hadis yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Amru RA, Rasulullah SAW bersabda:
“Perintahlah anak-anak kamu supaya mendirikan solat ketika berusia tujuh tahun dan pukullah jika mereka meninggalkan solat ketika berumur sepuluh tahun dan asingkanlah tempat tidur antara mereka (lelaki dan perempuan) dari tempat tidur kamu.” (Hadis Riwayat Abu Daud)
"Pada peringkat ini anak-anak akan lebih bertanggungjawab pada setiap suruhan terutama dalam mendirikan solat.
"Inilah masa terbaik bagi kita sebagai ibu bapa dalam mencorakkan sahsiah dan akhlak anak-anak mengikut acuan Islam," katanya.
Jelasnya lagi, ibu bapa akan menjadi tonggak utama dalam menentukan hala tuju dan kehidupan anak sama ada menjadi Mukmin sejati atau sebaliknya.
3 – Tahap ketiga – ketika umur anak 15 hingga 21 tahun
Tahap ketiga merupakan fasa yang mencabar di mana sifat remaja itu seringkali bersikap memberontak, menurut khatib.
"Pada tahap ini ibu bapa seelok-eloknya mendekati anak-anak dengan berkawan dengan mereka. Banyakkan berborak dan berbincang mengenai perkara yang mereka hadapi.
"Bagi anak remaja perempuan contohnya, berkongsilah dengan mereka mengenai kisah kedatangan haid mereka dan perasaan mereka ketika itu. Jadilah pendengar yang setia kepada mereka," jelasnya.
Katanya, sekiranya ibu bapa tidak bersetuju dengan sebarang tindakan mereka, elakkan mengherdik atau memarahi mereka terutama di hadapan adik-beradik yang lain, tetapi banyakkan pendekatan secara diplomasi walaupun kita adalah orang tua mereka.
"Kesannya, tiada orang ketiga atau orang asing akan hadir dalam hidup mereka sebagai tempat rujukan dan mendengar masalah mereka.
"Mereka tidak akan terpengaruh untuk keluar rumah untuk mencari keseronokan memandangkan semua kebahagiaan dan keseronokan telah ada di rumah bersama keluarga," hurainya lagi.
4 – Tahap keempat – ketika umur anak 21 tahun dan ke atas
Menurut khatib, fasa keempat ini ibu bapa memberikan sepenuh kepercayaan kepada anak-anak dengan memberi kebebasan dalam membuat keputusan mereka sendiri.
"Ibu bapa hanya perlu memantau, menasihati dengan diiringi doa agar setiap hala tuju yang diambil mereka adalah betul.
"Bermula pada tahap ini pengembaraan kehidupan mereka yang sebenar adalah di luar rumah. Segala disiplin yang diasah sejak tahap kedua sebelum ini cukup menjadi benteng diri buat mereka," katanya.
Tambahnya, ibu bapa janganlah serik menasihati mereka dalam membentuk tingkah laku anak-anak yang lebih baik seperti yang ibu bapa inginkan.
"Sekiranya ibu bapa telah melaksanakan tanggungjawabnya dalam pendidikan agama anak-anak tetapi mereka masih tidak berakhlak dengan akhlak yang baik, maka itu adalah satu ujian bagi ibu bapa.
"Mereka perlu bersabar atas ujian itu serta jangan putus asa berdoa supaya ia menjadi sebab kepada ganjaran pahala di sisi ALLAH SWT kepada ibu bapa," jelasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!