[VIDEO] Johan hafazan dalami al-Quran sejak usia lima tahun
SUNGAI PETANI - Johan hafazan Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Kebangsaan (MTHQK) telah menghabiskan syahadah 30 juzuk ketika usianya 14 tahun, empat tahun lalu.
Muhammad Rifae'i Mat Zuki, 18, berkata, dia mula membaca al-Quran sejak berusia lima tahun dan jatuh cinta untuk terus mendalami serta mempelajari kalam ALLAH tersebut.
Lebih menarik, pelajar tahun keenam Akademi Darul Ilmi (ADI) ini menggunakan platform YouTube untuk menambah pengetahuan dan mendengar bacaan suci al-Quran sejak berusia 10 tahun.
"Saya mula menghafaz al-Quran setelah diberi galakan Pengerusi ADI, Ustaz Mohamad Wadi Annuar Ayub dan guru pembimbing sejak masuk ke sini pada 2019.
"Berkat dorongan semua, alhamdulillah saya berjaya menghabiskan bacaan syahadah 30 juzuk ketika usia 14 tahun setelah menghafaz selama setahun sebulan," katanya ketika ditemui pada Jumaat.
Ketika ditanya resipi kejayaan bagi memudahkan menghafal al-Quran, anak bongsu daripada empat beradik ini berkata, salah satunya, sentiasa meninggalkan makanan syubhah termasuk gula-gula atau coklat yang tidak diyakini.
Tambah anak jati Kedah ini, gurunya pernah berpesan, dalam setiap langkah yang dilakukan haruslah bermula dengan niat yang baik.
"Saya selalu mengingati pesanan guru-guru iaitu jika mahukan kejayaan luar biasa, kita perlu bertindak luar biasa," katanya.
Ketika ini, Muhammad Rifae'i sedang menjalani latihan dan membuat persiapan menyertai pertandingan hafazan peringkat antarabangsa di Kuala Lumpur, Oktober nanti.
"Saya menyimpan impian untuk bertemu ulama Syria yang juga merupakan pemenang sanad al-Quran tertinggi di dunia, Sheikh Muhammad Kurayyim Rajih," katanya.
Sementara itu, Mohamad Wadi Annuar yang juga merupakan penceramah bebas berkata, kejayaan berkenaan cukup membanggakan selain menunjukkan usaha berterusan dan sokongan padu semua pihak, termasuk ibu bapa serta guru dalam melahirkan generasi cemerlang akademik dan al-Quran.
Terdahulu, Sinar Harian melaporkan, Muhammad Rifae'i dinobatkan johan hafazan (kategori 1-30 juzuk) MTHQK 1445 Hijrah/2024 Masihi di Pahang baru-baru ini dengan markah cemerlang 98.71 peratus.
Dalam majlis tersebut, qari dari Negeri Sembilan, Mohamad Husaini Mahmur diumumkan johan tilawah al-Quran manakala Nor Hidayah Abd Rahman dari Terengganu diumum johan menunggu bagi kategori qariah.
Muhammad Rifae'i merupakan johan hafazan 30 juzuk berserta tafsir kategori hafiz dan Putri Aminah Mohd Hanif bagi kategori hafizah.
MTHQK 2024, program anjuran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia dengan kerjasama kerajaan Pahang berlangsung selama enam hari bermula 23 Mei menampilkan 110 peserta dari seluruh negara.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!